PETALING JAYA : Satu siasatan akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan tular membabitkan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk sebelum merempuh empat kenderaan lain diparkir Jalan Sri Permaisuri, Cheras dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, kemalangan itu membabitkan seorang lelaki berusia 69 tahun yang memandu Honda CRV di jalan berkenaan dari Cheras menghala Petaling Jaya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, bagaimanapun,siasatan masih diteruskan bagi mengesahkan sama ada wujudnya unsur mabuk hingga mengakibatkan kemalangan itu.
“Pemandu dan semua pemilik kenderaan dirempuh sudah membuat laporan polis. Tiada kecederaan dialami oleh mana-mana pihak dalam kejadian itu.
“Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-20719999, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook dikenali Sepang Viral mendakwa seorang lelaki terbabit kes langgar lari selepas memandu kereta di bawah pengaruh alkohol hingga merempuh lima kenderaan diparkir tepi jalan dekat Cheras, semalam.-UTUSAN ONLINE