"PN takut, sampai hilang kewarasan" - Utusan Malaysia

“PN takut, sampai hilang kewarasan”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa minggu kebelakangan ini, berbahang suhu politik seolah-olah tidak mempedulikan masalah pandemik yang mengganas. Ketika semua pihak sedang berhempas pulas uruskan wabak dan isu ekonomi, satu demi satu gerakan disusun bagi menggoncang politik yang sedia tak stabil.

Ini boleh dilihat melalui demonstrasi jalanan berbaju hitam di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini. Ia disusuli pula tindakan UMNO selaku komponen Perikatan Nasional (PN) yang umumkan menarik diri daripada gabungan itu. Memburukkan keadaan, polemik PN susulan isu darurat pula ibarat ‘senjata makan tuan’.

Soalnya, apa kata PKR? Sebagai seteru yang melihat bahtera mereka dirampas melalui episod Langkah Sheraton pada 2020, sejauh mana mereka mengintai peluang di sebalik situasi tidak stabil ini?

Menggalas persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ dan ROSHIHAN ANNUAR YUB bertemu bual dengan Setiausaha Agung PKR, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, baru-baru ini. Turut membantu jurugambar AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR dan juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa reaksi PKR berhubung situasi politik terkini apabila keabsahan kerajaan bakal diuji di Parlimen September nanti?

SAIFUDDIN: Sebenarnya ia harus dilakukan seawal 1 Mac 2020, tatkala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Oleh kerana jalan beliau mengambil alih kerajaan adalah melalui dokumen dan pembuktian ia tidak pernah dilakukan dalam dewan Parlimen. Sepatutnya pada waktu itu beliau mengambil masa sebulan dua, dan sidang pertama mestilah melakukan undi percaya. Ini pernah dibuat ketika Allahyarham Tun Hussein Onn mengambil alih daripada Tun Abdul Razak, malah pernah dibuat oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan tampuk kepimpinan. Tapi itu tidak dilakukan oleh Muhyiddin.

Apa kesannya jika tak dilakukan?

Akibatnya, persoalan legitimasi atau kesahihan sokongan kepada beliau tidak pernah dapat dibuktikan melalui undi percaya atau undi tidak percaya yang dibawa pembangkang. Ini tak pernah melepasi aturan mesyuarat. Jadi hal ini sepatutnya dilakukan daripada mula, dan sekiranya isu legitimasi kerajaan beliau telah diselesaikan melalui saluran itu, keadaan politik tidak akan berlaku seperti sekarang.

TIADA AZMIN, LEBIH BAIK
Macam mana pula soal dalaman parti yang kehilangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?

Ketiadaan Azmin itu sebenarnya membantu mempermudahkan perjalanan parti. Sangat jelas terutama tahun-tahun terakhir sebelum beliau meninggalkan parti, disiplin kehadirannya dalam parti sangat buruk. Boleh dikatakan kalau 10 mesyuarat kita buat, beliau langsung tak menghadiri. Begitu juga mesyuarat dalam pakatan. Jadi tanda-tanda itu sudah ditunjukkan dengan jelas, jadi kerana itu kita dapati sekarang bila tiada watak ini, parti jadi lebih tersusun.

Apa buktinya?
Penerimaan keanggotaan baru makin bertambah, sekarang kita sudah ada 1.41 juta ahli. Semasa terakhir Azmin dan kawan-kawan meninggalkan parti, waktu itu kami ada 920,000 ahli sahaja.

RAFIZI CANTAS ANWAR, DAP?
Apa reaksi berhubung isu baru-baru ini apabila ada pihak dalaman parti usulkan calon PM selain Datuk Seri Anwar Ibrahim? Ini isyarat ada gerakan mahu cantas beliau dari dalam?
Episod ini sudah pun berlalu dengan PH mengadakan retreat parti di Port Dickson, seminggu sebelum Ramadan tahun ini. Pada akhir retreat itu telah pun dicapai enam resolusi, yang pertama, PH bersetuju untuk menghadapi pilihan raya akan datang, jeneral yang akan memimpin pertempuran ialah Anwar. Dan jika mandat rakyat diberikan kepada PH, satu-satunya calon PH ialah beliau.

Tapi kemudian tular pula audio Rafizi Ramli kritik Anwar dan DAP, dan dia pula mentor kepada Akmal Nasir yang baru-baru ini ada krisis dengan orang kanan Anwar iaitu Farhash Wafa Salvador?
Saya fikir itu asam garam dalam laluan dan perjalanan sejarah politik PKR. Perbezaan pandangan dan pendapat akan selalu berlaku. Akan ada kecenderungan mana-mana pemimpin kepada mana-mana tokoh.

Maksudnya PKR menyedari gerakan Rafizi itu?
Untuk PKR yang sudah mencecah umur 20 tahun ini, itu adalah hal yang kami anggap sebagai rencam, asam garam dalam politik. Dalam kata lain, itu tidak memberi sebarang impak besar kepada kewujudan PKR.

PKR MENJELANG PRU-15
Parti mana yang diramal akan bersama PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti?
Pertama, komponen PH ini ada tiga. Bila kita sebut rundingan kerusi, proses pertama adalah membabitkan tiga parti, yang mana pada pilihan raya lepas, kita ada empat parti, jadi kita bahagikan empat. Pada waktu itu parti yang berjaya bertanding paling banyak kerusi adalah Bersatu, 52 kerusi, PKR 51 kerusi, diikuti DAP dan Amanah. Jadi apabila Bersatu tidak lagi menjadi komponen, sudah tentu rundingan kerusi itu akan diselesaikan dalam kalangan tiga parti itu (PKR, DAP dan Amanah).

Macam mana pula halnya dengan parti lain di blok pembangkang seperti Pejuang dan Muda?
Persamaan PH dengan parti yang disebut ini, kita berada dalam blok pembangkang. Itu persamaan antara kita. Jadi kita mulakan dengan persamaan itu dulu. Sebab itu, dalam strategi perundingan, kita meletakkan bahawa kita ini adalah kem pembangkang dan sasaran kita untuk berdepan dengan parti pemerintah. Jadi kalau formula kemenangan itu memerlukan bukan sahaja rundingan kita sesama (komponen) kita, tapi jika kena reach out dengan parti pembangkang lain, saya rasa itulah pendekatan sebenarnya jadi amalan dalam PH. Cuma secara rasmi, belum lagi kita mulakan.

Sudah adakah rundingan?
Secara rasmi, tidak pernah berjalan lagi. Sebab setiap satu keputusan, kalau hendak dimulakan, ia tak boleh jadi PKR berunding dengan Pejuang (misalnya), sebaliknya mesti satu blok PH dan mengadakan perundingan dengan parti-parti lain.

UMNO-PH MUNGKIN BERGABUNG?
Macam mana dengan UMNO yang baru umum keluar dari PN, sedangkan mereka kekal berpendirian No Anwar, No DAP. Tanpa UMNO, bagaimana PH mahu bentuk kerajaan dengan majoriti mudah?
Saya cuma nak sebut begini, ‘No Anwar, No DAP’ itu saya tak percaya ia dasar parti, saya cuma kata itu sentimen dalam parti. Ada beza dasar dengan sentimen, dasar ia kekal, sentimen ini pula ia boleh hilang, tak kekal. Macam mana ilustrasi hendak bagi faham? Cuba kita lihat Pas dengan UMNO, berdekad-dekad pertarungan ini membelah masyarakat daripada atas sampai bawah. Tadika, ada Kemas dan Pasti, khemah kenduri, ada khemah Pas dan khemah UMNO, masjid ada Pas dan UMNO. Baik, itu dasar atau sentimen? Ternyata, selama ini kita ingat dasar, rupanya tidak. Sentimen saja. Kemudian bila diungkap bahawa Melayu Islam itu mesti bersatu, maka didatangkan segala ayat (al-Quran). Maka sekarang ternyata mereka boleh duduk, namanya Muafakat Nasional (MN).

Maksudnya ada kemungkinan PH akan disertai UMNO?
Sekarang, apa dasar yang mengikat gabungan PH? Mengiktiraf Islam agama Persekutuan. Kedua, memperakui peranan institusi Raja-raja Melayu. Perkara 153, kedudukan istimewa Melayu dan hak bumiputera lain, dan keempat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Itu dasar. Kemudian apa lagi? Amalan pentadbiran dan tata kelola kerajaan yang baik. Tengok pula pada UMNO, Fasal 3 Perkara 3 dalam perlembagaan mereka, tujuan UMNO ditubuhkan adalah untuk menegak, mengembang dan mempertahankan Islam. Kalau dasar kita tadi, Islam sebagai agama, UMNO ada dalam Fasal 3 Perkara 3, bukankah itu titik temunya? Jadi pada saya, kalau kita cakap soal dasar, kita kena beza dengan sentimen.

Jadi langkah UMNO tarik diri dari PN mungkin mendorong mereka masuk PH?
Saya tak kata UMNO dengan PH itu boleh bercantum, tidak. Usaha ke arah itu tidak berlaku apa-apa lagi. Tapi dalam konteks Mingguan Malaysia membuat wawancara ini, saya berkongsi pandangan saya bahawa kalau titik temu kepada satu parti itu bersifat dasar, ia satu yang mungkin boleh berlaku.

PEMBATALAN DARURAT, ORDINAN
Dalam isu pembatalan darurat dan ordinan baru-baru ini, adakah pembangkang mahu gunakan institusi Parlimen untuk jatuhkan kerajaan melalui undian?
Sebab yang cuba dielak (oleh Perikatan Nasional) adalah jangan sampai bentang dan bahas, kemudian mengundi. Itu yang takut sangat. Ketakutan itu sampai hilang kewarasan. Sepatutnya tenang saja melihat bahawa pembangkang tak mahu darurat. Ordinan darurat adalah undang-undang yang lahir kerana adanya darurat. Kalau pembangkang tak setuju darurat, mana mungkin pembangkang akan setuju dengan ordinan darurat? Kalau kerajaan bentangkan untuk pembatalan, jadi akan dapat semua sokonganlah. Tapi itu tak dibuat sebab terlalu takut sangat istilah yang namanya perbahasan dalam Parlimen, itu puncanya.

Kenapa PH beria-ia nak jatuhkan PN, adakah sebab dendam Langkah Sheraton?
Keputusan PRU-14, yang menang siapa, PH kan? Tiba-tiba yang memerintah hari ini siapa? Maka itu isu pokoknya. Ini adalah isu besar kerana kerajaan yang terbentuk adalah kerajaan yang mengkhianati mandat rakyat. Pada saya, kehebatan sesebuah kerajaan itu ialah pada cara ia dibentuk sehingga mendapat kuasa. Kalau jalan itu adalah jalan yang bercanggah, janganlah beri nafas dan wajah apapun, bagilah make up apa pun untuk menjustifikasi kewujudannya, ia tidak akan dapat memulihkannya.

BAJU HITAM AGENDA REVOLUSI?
Mengapa PH dan rangkaian Bersih anjurkan perhimpunan baju hitam, tak kasihan kepada frontliners yang berhempas-pulas kawal wabak?
Saya tak fikir penglibatan ahli Parlimen waktu itu atas nama (parti), tapi saya tengok itu atas inisiatif anak-anak muda. Saya ingat itu yang lebih dominan, mereka sendiri yang lakukan kempen mobilisasi menggunakan kekuatan media sosial. Tema apa mereka nak bawa, bawa mayat, bawa plakad, itu tema. Sebagai orang yang lebih 20 tahun dalam gerakan reformasi, mengatur demonstrasi perhimpunan jalanan ini, saya fikir ia bukan soal Bersih atau ahli Parlimen, tapi yang lebih dominan penyertaannya ialah anak-anak muda.

Adakah ini bibit awal sebelum mencetuskan revolusi?
Revolusi ini istilah yang sangat asing dalam sejarah politik kita. Revolusi ini seperti Bolsheviks, Revolusi Perancis, satu gerakan berdarah, agresif dan ganas. Malaysia ini, sifat orang Melayu kita ini, budi bahasanya, (pekerti) lemah lembut, jadi itu istilah yang tak tepat.

Kalau bukan revolusi, mungkin mahu cetuskan gelombang reformasi seperti yang berlaku pada 1998?
Reformasi 1998 sekali pun, tiada korban jiwa. Berapa orang terbunuh kerana reformasi di Jalan Tunku Abdul Rahman, di Sogo, di Menara Maybank atau di Masjid Negara? Tiada pun. Maksudnya tidak adil untuk diberi satu konotasi negatif terhadap istilah reformasi atau perhimpunan.

Jadi perhimpunan baju hitam memang tidak dinaungi PH?
Tidak dalam pengetahuan saya. Bahkan kami yang berdamping rapat sesama ahli Parlimen, kami ada kumpulan WhatsApp beratus-ratus orang, topik itu kami anggap “oh, ada himpunan anak muda”, itu saja.

Tapi apabila wakil PH seperti Tian Chua sendiri yang datang?
Tian Chua satu watak yang apabila sebut jalan raya, dia sinonimlah (tertawa). Walaupun kurus, tapi watak dia jalan raya.

DAKWAAN ADA 107 SOKONGAN
Benarkah Anwar ada 107 sokongan ahli Parlimen? Berapa sokongan yang beliau ada sebenarnya?
UMNO tarik diri itu diumum bila? 3 Ogos 2021. Tapi dalam kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dia sebut dia hantar dokumen kepada speaker dan istana, bila? 30 Julai, 2021. Itu dia sebut, cuba baca semula kenyataan dia. Perhimpunan (ahli Parlimen pembangkang) berapa hari bulan? 2 Ogos 2021. Kalau dia (Zahid) hantar pada 30 Julai, lepas itu ayat Anwar, “ada telah sampai dalam pengetahuan saya, sejumlah ahli Parlimen dari pihak sana, sebelah sana”, maksudnya dari pihak PN yang telah mengutus surat penarikan sokongan kepada Perdana Menteri, itu (Anwar) sebut dalam ucapannya pada 2 Ogos.

Maksudnya?
Maksudnya telah sampai kepada pengetahuan beliau. Jadi kalau angka Muhyiddin pada waktu itu adalah 114, kalau tolak lapan, yang hantar (akuan bersumpah) itu katanya lapan, jadi tinggal 106. Kita sekarang ada 220 kerusi Parlimen sahaja. Kalau separuh, 110 kerusi. Jadi kalau 111 (membentuk) majoriti mudah, Muhyiddin cuma ada 106.

Maksudnya sudah tiada majoriti 111 kerusi?
Jadi dengan 106 itu, isu pertama adalah legitimasi seorang PM dan kerajaannya, tidak mencecah majoriti mudah. Fakta dibuktikan dengan penghantaran dokumen individu (ahli Parlimen) yang pada asalnya menyokong, kemudian tarik sokongan. Jadi secara teknikal, pada hari itu (3 Ogos), PM sudah tidak ada sokongan lagi.

PKR tak fikirkah rakyat yang serik lihat politikus mencatur kuasa, kenapa tak sabar sehingga PRU-15?
Setiap kerajaan pasti berusaha menyelamatkan rakyat dan negara dari bencana wabak ini. Cuma cara PN tangani krisis ini tidak ada pendekatan strategik. Setelah lebih setahun semua petunjuk membuktikan kerajaan ini gagal, lihat saja kepada kes positif, kematian dan lain-lain. Kerajaan PN ini kena mengaku hakikat ini dahulu. Usah lupa yang Ketua Pembangkang sejak awal lagi selepas kerajaan pintu belakang ambil alih, telah meminta sidang Parlimen diadakan bagi membincang strategi menangani wabak dan pakej bantuan ekonomi untuk rakyat. Malah Anwar memberi jaminan tidak akan kemukakan usul undi tidak percaya kepada PM, malah yang hantar usul ialah Tun Dr. Mahathir.

Maksudnya PKR berlapang dada bekerjasama dengan PN demi rakyat?
Kami memang bersedia bersama kerajaan dalam hal ini malah pejabat Ketua Pembangkang wujudkan pasukan khas menggunakan data sains bagi menangani krisis ini. Tapi Parlimen tutup, hendak bincang macam mana? Yang sepatutnya ditanya mengapa PM tidak buka Parlimen dan ajak pembangkang bekerjasama dalam menangani Covid-19 dan ekonomi negara? Media sepatutnya menyokong gesaan Ketua Pembangkang sejak awal lagi. Bukannya kami ditanya tidakkah PKR menyelami perihal rakyat dan sabar sehingga PRU-15.

LAGI BANYAK KALAH
Tak penatkah menghadapi sepak terajang politik selama puluhan tahun ini? Tak terfikir untuk lepaskan kedudukan?
Saya masuk politik dengan prinsip dan idealisme, menegak ma’ruf menentang mungkar, menegak keadilan, menabur khidmat, menyemarak kasih sayang sesama insan. Tiada istilah penat dalam kamus hidup saya. Saya lebih banyak merasai kalah berbanding menang. Jika masuk politik itu sekadar kalah menang sudah lama saya berundur. Saya berdoa mudah-mudahan diberikan kesihatan yang baik untuk terus bekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×