Perak cadang pekerja kedai makan, hotel divaksin segera - Utusan Malaysia

Perak cadang pekerja kedai makan, hotel divaksin segera

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pekerja bagi sektor makanan dan minuman serta pelancongan diberikan vaksin dengan kadar segera.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut diputuskan dalam perbincangan pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) yang berlangsung semalam.

Beliau berpendapat, adalah lebih baik untuk pekerja restoran dan kakitangan hotel diberi vaksin terlebih dahulu untuk mengelak risiko jangkitan.

“Kita berpendapat adalah lebih baik untuk mereka juga diberi vaksin kerana ia adalah adil kepada pelanggan yang telah lengkap divaksinasi, tetapi, terpaksa berhadapan risiko tinggi.

“Jadi, semalam kita telah putuskan dalam mesyuarat JKKN dan hantar cadangan itu kepada Jawatankuasa Teknikal MKN. Kita berharap mereka mengambil kira cadangan daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Meru 2B di sini hari ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan individu yang sudah lengkap divaksin untuk ‘dine-in’ di restoran bermula Selasa lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan berkata, kebenaran itu hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN