DUNGUN: Segelintir penjaja di sekitar Paka di sini dikesan masih berniaga di tepi jalan sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di mukim itu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sikap itu berkemungkinan kerana golongan berkenaan keliru dengan SOP PKPD yang mula dikuat kuasakan di Mukim Paka sejak semalam.
“Alasan paling banyak diterima semasa pemeriksaan ialah penjaja mendakwa keliru dan tidak mengetahui SOP berkenaan.
“Tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun akan diambil terhadap golongan penjaja jika mereka terus berdegil untuk berniaga di tepi jalan mulai hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE