KUANTAN: Seorang peniaga dekat sini kerugian sehingga RM30,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwanya terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram.
Kejadian bermula 22 Ogos lalu apabila mangsa yang berusia dalam lingkungan 44 tahun itu menerima panggilan daripada individu kononnya mengaku sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM32,000 atas syarikat yang didaftarkan di atas namanya.
Menurutnya, pada mulanya mangsa menafikan sekeras-kerasnya berikutan tidak pernah menggunakan syarikat yang dinyatakan pegawai tersebut.
“Untuk menguatkan lagi dakwaan tersebut, mangsa telah disambungkan kepada seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka yang memperkenalkan diri sebagai Tuan Yong.
“Kemudiannya, Tuan Yong kononnya menyatakan bahawa mangsa turut terlibat dalam pengubahan wang haram dengan seorang penama lain, Lim Wai Kang kerana pernah memberi barang kemas.
“Mangsa diarahkan memasukkan sebahagian wang simpanan yang dimiliki ke akaun lain dan seterusnya membuat pindahan ke akaun suspek jika tidak mahu kesemua wangnya dibekukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, mangsa segera membuat pindahan wang secara dalam talian bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku ke atas akaun banknya.
“Mangsa memindahkan wang berjumlah RM30,000 ke akaun yang diberikan Tuan Yong.
“Namun, apabila mangsa cuba meminta kembali wangnya itu dia gagal menghubungi suspek berikutan nombor telefon yang digunakan sudah tidak aktif lagi.
“Mangsa yang merasa diri telah diperdaya itu telah membuat laporan di IPD Kuantan dan pihak polis akan mengambil tindakan seterusnya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE