KUALA TERENGGANU: Kalangan pengusaha resort di Pulau Redang memilih untuk menangguhkan operasi mereka hingga bulan depan selepas kesemua kakitangan melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Redang Bay, Lim You Jing berkata, langkah itu bertujuan mengelak sebarang risiko jangkitan virus bukan sahaja dalam kalangan warga kerja resort malah pelancong.
Katanya, perbincangan tidak rasmi sudah dilakukan bersama ahli Persatuan Resort-Resort Pulau Redang dan rata-ratanya senada dalam perkara itu.
“Kita tidak mahu timbul tragedi kalau buka tergesa-gesa, seeloknya biarlah kami lengkap dua dos vaksin Covid-19 dahulu pada 20 Ogos ini dan menunggu hingga tempoh 14 hari.
“Sememangnya kita teruja untuk beroperasi semula kerana sudah lama tiada pendapatan, tetapi dalam masa sama soal kesihatan pekerja dan pelancong menjadi keutamaan,” katanya hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan kemudahan sektor sosial kepada individu vaksin lengkap dan menetap negeri fasa 2 dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.
Katanya, antara kemudahan itu ialah aktiviti pelancongan dalam negeri sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel.
Menurut You Jing, operasi resortnya dijangka dibuka mulai 3 atau 4 September ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, kebenaran beroperasi itu bakal membolehkan industri pelancongan di negeri ini yang malap kembali bersinar.
“Semoga prosedur operasi standard (SOP) akan terus dipatuhi di setiap premis agar kes Covid-19 tidak terus meningkat.
“Di samping itu MAH Chapter Terengganu turut berharap agar 600 kakitangan yang berkhidmat di hotel-hotel di bawah kami dapat diberikan keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE










