KUALA NERUS: Hampir 6,000 penduduk di Taman Desa Tanjung Damai di Gong Badak sini yang terputus bekalan air sejak kelmarin, resah kerana bantuan yang disediakan pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) tidak mencukupi.
Seorang penduduk, Mustaffa Husin, 70, berkata, sepanjang tiga hari berdepan gangguan itu bantuan lori tangki Satu hanya datang pada hari pertama dan hari ini.
Katanya, bantuan yang tidak konsisten itu sekali gus menambahkan lagi bebanan penduduk kerana kesukaran untuk melakukan aktiviti memasak, membasuh dan mandi.
“Gangguan bekalan air sering berlaku di taman perumahan ini, tetapi pengalaman kali ini yang paling sukar terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui semalam
Sementara itu, Sanariah Ismail, 40, berharap kerja-kerja membaiki kerosakan paip yang pecah di dasar Sungai Terengganu dapat diatasi dalam tempoh ditetapkan kerana buntu jika situasi berkenaan terus berlarutan.
“Mujurlah ada beberapa lori persendirian datang mengagihkan bekalan air sejak semalam yang sedikit sebanyak membantu penduduk terjejas, mudah-mudahan pihak berkuasa dapat segera menyelesaikan masalah ini kerana ramai keluarga di sini yang mempunyai anak-anak kecil,” katanya.
Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 pengguna akaun di daerah ini dan Kuala Terengganu sejak kelmarin akibat paip pecah di dasar Sungai Terengganu dijangka pulih lima hari lagi.- UTUSAN ONLINE