Penduduk bimbang ramai penghuni flat kuarantin Covid-19 di rumah - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang ramai penghuni flat kuarantin Covid-19 di rumah

PEKERJA MBI melakukan sanitasi awam di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong dekat sini bimbang keselamatan mereka berikutan terdapat penghuni yang disahkan positif Covid-19 dan diarah menjalani kuarantin di rumah.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 7 (Buntong), A Ganesan berkata, daripada 26 blok di kawasan berkenaan, terdapat tujuh blok yang dihuni pesakit Covid-19 dan kontak rapat.

Katanya, keadaan tersebut mengundang risiko kepada penduduk terutama warga emas, pesakit kronik dan wanita hamil.

“Bagi penduduk yang positif Covid-19, kita juga bimbang dengan keadaan ahli keluarga mereka kerana terpaksa tinggal dalam rumah yang sama. 

“Keadaan ini mendatangkan risiko tinggi untuk ahli keluarga turut dijangkiti dan menyebarkan kepada orang lain tanpa mereka sedar. Tambahan lagi apabila kebanyakan kes Covid-19 di sini adalah tanpa gejala,” katanya dalam sidang akhbar di Flat Harmoni di sini hari ini.

Menurut Ganesan, rata-rata penduduk di flat itu berharap agar pesakit Covid-19 tidak menjalani kuarantin di rumah sebaliknya di tempatkan di lokasi lain.

Katanya, tindakan segera juga perlu diambil bagi memastikan tiada penularan jangkitan ke blok-blok lain.

“Di sini, pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka berkongsi tangga yang sama dengan penduduk lain. Begitu juga jika mereka ke kedai atau membuang sampah.

“Kita bimbang jika SOP (prosedur operasi standard) tidak betul-betul diamalkan, akan lebih banyak lagi kes Covid-19 di sini. 

“Sebab itu, kita cadangkan MBI untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan agar pesakit yang positif ini diasingkan di lokasi lain. Keadaan ini sudah pasti akan melegakan penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN