Penduduk ambil inisiatif sanitasi rumah penduduk - Utusan Malaysia

Penduduk ambil inisiatif sanitasi rumah penduduk

penduduk Kuala Sanglang mengambil inisiatif dengan bergotong-royong melakukan proses sanitasi di rumah-rumah penduduk di Kuala Sanglang, Perlis, semalam. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bimbang dengan peningkatan ketara kes Covid-19 di Perlis khususnya di Sanglang mendorong penduduk di kawasan tersebut mengambil inisiatif sendiri melakukan proses sanitasi di beberapa lokasi di situ.

Para penduduk melaksanakan proses sanitasi tersebut secara bergotong-royong khususnya di rumah-rumah penduduk di pekan Kuala Sanglang, Kampung Datuk Keramat dan Kampung Lorong Surau di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Sanglang, Mazlan Othman berkata, proses tersebut melibatkan 373 buah rumah meliputi 2,000 penduduk di kawasan itu.

Katanya, sebanyak 10 tong atau bersamaan 50 liter bancuhan cecair nyah kuman digunakan untuk tujuan sanitasi tersebut.

“Inisiatif untuk melakukan proses sanitasi tersebut sudah dibincangkan sejak beberapa hari lalu selepas melihat kes semakin meningkat termasuk terdapat seorang kontak pesakit Covid-19 yang tinggal di pekan ini telah dibawa ke hospital oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Kita mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk. Kira-kira 20 penduduk bergotong-royong melakukan proses tersebut. Inisiatif tersebut diharap dapat membantu mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehingga semalam, Perlis merekodkan 258 kes aktif Covid-19 dengan Sanglang pula mencatatkan 38 kes sekaligus menjadi kawasan kedua merekodkan kes tertinggi selepas Kuala Perlis sebanyak 55 kes.

Tambah Mazlan, kos kelengkapan dan cecair nyah kuman itu adalah sumbangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ahli Dewan Negara, Senator Sabani Mat.

Sementara itu, seorang penduduk pekan Kuala Sanglang, Lee Hock Meng, 66, berkata, dia cukup bimbang dengan peningkatan ketara jumlah kes Covid-19 di Perlis.

“Inisiatif yang diambil penduduk (proses sanitasi) sangat baik dan kami menyokong sepenuhnya. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mencegah penularan Covid-19.

“Selain itu, kita juga perlu sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Dengan tanggungjawab penduduk, kita mampu melawan wabak ini daripada terus merebak.

“Kita pernah merekodkan sifar kes berulang kali dan sentiasa berada di dalam status zon hijau sebelum ini. Saya percaya kita mampu kembali membebaskan Covid-19 di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN