Pelbagai suntikan rangsang ekonomi Selangor - Utusan Malaysia

Pelbagai suntikan rangsang ekonomi Selangor

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberikan pelbagai suntikan bagi merangsang ekonomi negeri itu walaupun berdepan dengan situasi wabak pandemik Covid-19 yang menjejaskan pertumbuhannya.

Bagaimanapun, bagi tahun pertama serangan pandemik, Selangor berjaya melepasi sasaran RM12 bilion nilai pelaburan dari dalam dan luar negara apabila menerima sebanyak RM18.43 bilion yang merupakan 324 projek perkilangan diluluskan oleh Lembaga Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Malah, pada tahun ini juga sasaran nilai pelaburan yang sama diletakkan oleh kerajaan negeri dengan mengambil kira berdasarkan jangkaan berlakunya pengurangan dalam aktiviti pelaburan disebabkan penularan wabak Covid 19 dan proses pemulihan ekonomi yang dihadapi seluruh negara ketika ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, daerah Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 bilion, diikuti Kuala Langat, RM5.785 bilion dan Klang, RM3.477 bilion.

“Beta bersyukur kerana Selangor masih menjadi pilihan pelabur-pelabur tempatan dan luar negara untuk menjalankan perniagaan berikutan kemudahan prasarana yang lengkap dan
moden serta dasar-dasar kerajaan yang memudah cara persekitaran perniagaan.

“Kelebihan daya saing ini telah menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi tahun 2020 merekodkan pencapaian yang cemerlang di mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor yang ke 14 hari ini.

Baginda menambah, tumpuan pelaburan di Selangor disumbang oleh pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan ekonomi daripada Kerajaan Persekutuan yang turut disokong oleh kerajaan negeri.

“Negeri Selangor sekali lagi mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari 2021 akibat jumlah kes yang meningkat secara mendadak serta sistem kesihatan awam yang
semakin tenat.

“Berikutan daripada itu pada 20 Januari 2021, kerajaan beta telah mengumumkan Pakej Kita Selangor Fasa Pertama berjumlah RM75.877 juta yang secara dasarnya bertujuan untuk menyerap impak pelaksanaan PKP terhadap kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan yang paling terkesan, serta membantu menangani penularan wabak,” titahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN