Pelantikan Ismail Sabri sebagai penamat perbalahan antara pemimpin - Utusan Malaysia

Pelantikan Ismail Sabri sebagai penamat perbalahan antara pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelesaian politik menerusi pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan perlu dilihat sebagai pengakhiran terhadap perbalahan dalam kalangan pemimpin kerajaan dan pembangkang.  

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, penyelesaian kemelut politik yang berlaku sejak beberapa hari ini diharap tidak dilihat sebagai suatu titik yang terpisah daripada titik-titik lain sama ada sebelum atau selepas ini. 

“Ia perlu dilihat secara menyeluruh agar mampu memberi gambaran sebenar tentang sejarah masa, realiti masa kini dan cita-cita masa hadapan agama dan bangsa. 

“Maknanya, ia perlu dijadikan sebagai titik tolak baharu dalam menjauhi keburukan masa lampau, menilai kegusaran masa kini dan merancang kejayaan masa hadapan. 

“Oleh itu, penyelesaian politik yang terjadi ini perlu dilihat dari segi politiknya sebagai penamatan terhadap perbalahan yang merisaukan sebelum ini dan permulaan bagi proses perpaduan ummah yang menjanjikan kejayaan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau menyampaikan dakwah itu sekali gus memberi maklum balas kepada pelantikan Ismail Sabri semalam sebagai ketua kerajaan baharu menggantikan bekas penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan ekoran kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. 

Ismail Sabri Yaakob dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang ini selepas Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan pelantikannya ke jawatan itu.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu dibuat selaras dengan peruntukan di dalam Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan selepas Majlis Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara, semalam. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin politik di negara ini perlu ‘menjinakkan’ perasaan ego dan dendam masing-masing supaya tidak terus menguasai diri. 

Menurutnya, kerana egolah yang menyebabkan iblis yang pada awalnya merupakan antara malaikat yang berwibawa menjadi makhluk terlaknat dari dunia hingga ke akhirat. 

Beliau juga menyorot kisah anak Nabi Adam iaitu Qabil yang telah menjadi pembunuh pertama dalam sejarah hidup manusia manakala Kan’an yang merupakan anak Nabi Nuh mati tenggelam disebabkan bencana taufan atas sebab yang sama. 

“Jadi, rakyat terutama para pengikut parti perlu berhenti daripada berperanan sebagai pengadu domba yang sentiasa menghasut para pemimpin untuk terus berbalah. 

“Dalam sejarah manusia, peranan seperti inilah yang dimainkan iblis sehingga menyebabkan manusia ditendang keluar dari syurga sementara dia sendiri serta anak cucunya ditendang ke neraka untuk selama-lamanya,” katanya.  -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN