PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan kekal komited memikul amanah menjaga keselamatan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Demi kesejahteraan masyarakat serta negara di bawah kepimpinan beliau.
“PDRM merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira pukul 2.30 petang.- UTUSAN ONLINE










