Pas seru ahli hadapi PRU-15 suasana norma baharu - Utusan Malaysia

Pas seru ahli hadapi PRU-15 suasana norma baharu

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pas menyeru semua ahlinya agar bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di dalam suasana norma baharu apabila kemungkinan tiada kempen bersemuka sekiranya pandemik virus Covid-19 masih membimbangkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengakui situasi politik sejak kebelakangan ini tidak stabil khususnya apabila UMNO meminta ahli Parlimennya menarik diri daripada menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi kita kena bersiap sedia dengan suasana baharu. Begitu juga poster kempen juga mungkin tidak akan kelihatan lagi. Memanglah pada peringkat awal susah laksanakan norma baharu ini, namun lama-lama Insya- Allah akan okey.

“Pelaksanaan norma baharu dirasai dalam kehidupan harian sekarang, malah turut melibatkan ceramah, mesyuarat serta perjalanan PRU-15,” katanya dalam Ceramah Perdana Hijratul Rasul anjuran Pas Kelantan secara atas talian semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sidang Dewan Rakyat yang dijangka diadakan pada September ini akan menentukan Kerajaan PN sama ada dapat bertahan atau sebaliknya.

“Situasi politik sehari dua ini nampak tidak stabil khususnya setelah Umno meminta ahli parlimennya menarik diri daripada Kerajaan PN,” katanya.

Persidangan Parlimen itu akan bermula dengan titah perasmian Yang di-Pertuan Agong kemudian diikuti usul percaya terhadap Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN