Pas nafi Exco Kesihatan tak turun padang - Utusan Malaysia

Pas nafi Exco Kesihatan tak turun padang

RAZMAN Zakaria (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Alor Pongsu dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas Perak menafikan dakwaan kononnya Exco Kesihatan negeri daripada parti itu cuba mensabotaj usaha kerajaan negeri dalam menangani Covid-19.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, dakwaan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang itu merupakan tohmahan dan tidak berasas.

Menurutnya, dakwaan itu bertujuan mewujudkan persepsi yang salah dalam kalangan pemimpin negeri dan mahu mencetuskan pergolakan sesama pemimpin negeri.

“Sudah menjadi tradisi pembangkang untuk menimbulkan isu dan kontroversi agar berlaku perpecahan dalam kalangan para pemimpin kerajaan.

“Dakwaan Exco Kesihatan seperti ‘sabotaj’ kerajaan negeri kerana tidak turun padang bersama Menteri Besar dalam menangani Covid -19, tidak benar sama sekali.

“ADUN pembangkang yang membuat tuduhan itu mungkin terlepas pandang bahawa semua pemimpin termasuk exco kerajaan bertungkus lumus mengutamakan masalah rakyat termasuk menangani Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir Parlimen Bagan Serai di Surau Al-Ansar, Alor Pongsu dekat sini hari ini.

Menurut Razman, usaha menangani pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab secara bersama dan meliputi semua lapisan masyarakat.

Katanya, pembangkang harus faham ketika ini Perak masih berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) masih berjalan dan wajib dipatuhi.

“Apabila pemimpin turun di lapangan,  tentunya ia akan mengehadkan bilangan yang hadir ke tahap paling minimum supaya SOP dapat dijaga dan terkawal, sedangkan Menteri Besar jika turun padang pun beliau akan mengehadkan bilangan yang hadir,” katanya.

Menurut Razman, perlu juga difahami struktur menangani Covid-19  dipengerusikan oleh Menteri Besar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan pelaksanaannya di lapangan merangkumi Exco Kesihatan dan pegawai daerah secara bersama.

“Tentunya  pembangkang kurang memahami soal ini,” katanya.

Terdahulu, ADUN Hulu Kinta daripada PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dalam satu kenyataan mendakwa terdapat exco negeri dari Perikatan Nasional (PN) tidak ikhlas membantu usaha kerajaan negeri menangani Covid-19 apabila tidak minat turun padang bersama Menteri Besar walaupun menjadi satu tanggungjawab exco tersebut.

Dalam kenyataannya itu, Muhamad Arafat menyatakan, tindakan exco itu seolah-olah  ‘sabotaj’ dengan niat mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri. 

Pada sidang Dewan negeri yang bermula Rabu lalu, Exco Kesihatan Perak dari Pas, Mohd Akmal Kamaruddin dikritik pembangkang kerana didakwa lemah menjalankan peranan menangani isu berkaitan Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN