PADANG TERAP: Seorang pengawal keselamatan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM600 untuk menghiasi pekarangan rumahnya dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 di Kampung Perik, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang di sini.
Zulkifli Ibrahim, 48, pada tahun ini, dia membina 15 replika bunga raya dengan menggunakan Jalur Gemilang yang diletakkan di pekarangan rumahnya sejak awal awal bulan ini.
Menurutnya, pembinaan replika bunga raya itu dihasilkan dengan bantuan isterinya, Asmaliza Ahmad, 43.
Katanya, dua anaknya, Nor Syaza Athirah, 18, dan Nor Shamimi Aqilah, 14, turut tidak ketinggalan membantu mamasang Jalur Gemilang tersebut.
“Semangat Kemerdekaan kami tidak pudar walaupun pandemik Covid-19 masih melanda melanda negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, sebelum ini keluarganya Juga pernah menyertai pertandingan menghiasi Jalur Gemilang peringkat daerah anjuran Jabatan Penerangan Daerah Padang Terap pada tahun 2018.
“Pada pertandingan itu, saya berjaya mendapat tempat pertama sehingga terpilih mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan,” ujarnya.
Tambahnya, dia mengibar Jalur Gemilang menjelang Ogos juga bertujuan menyemai semangat cinta kepada negara dan menyayangi tanah air ini dalam kalangan anak-anaknya.- UTUSAN ONLINE