PETALING JAYA: Pemimpin Melayu harus sedar tentang kesatuan antara mereka akan mengembalikan kestabilan politik kepada negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemimpin veteran, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, apa yang berlaku kini adalah disebabkan pemimpin lupa tentang kesatuan tersebut sekali gus menyebabkan masalah kritikal yang mampu menimbulkan perpecahan.
“Satu perkara yang sentiasa dilupai di negara ini bahawa komuniti Melayu merupakan komuniti yang majoriti sekitar 60 peratus, terdiri daripada Melayu dan bumiputera. Ini harus dijadikan benteng mutlak kepada hak dan perjuangan kenegaraan.
“Kalau di Britain, mempunyai orang Inggeris 75 peratus, jadi corak pemerintahan politik Inggeris berpaksikan cara mereka. Di Cina, 100 peratus corak pemerintahan berpaksikkan kecinaan. Begitu juga di India yang menggunakan cara pemerintahan India yang beragama Hindu.
“Ini bermakna kita perlu mengambil iktibar dari sini seperti di Arab Saudi, Iraq dan Qatar di mana siapa yang majoriti harus mencorakkan politik negara mengikut nisbah bangsa berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah beliau, dalam hal ini, ia menjadi cabaran besar buat Perdana Menteri untuk mengembalikan kesatuan tersebut dan ia perlulah disertai bersama kekuatan daripada pemimpin lama supaya matlamat kesepakatan itu berjaya.
“Petua ini orang Melayu harus tidak boleh lupa di mana semua pihak harus berusaha untuk menyatukan bangsa. Ini bermakna orang lama seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain apatah lagi Perdana Menteri mesti ambil iktibar itu dan menyumbang kepada komuniti kesatuan itu tadi.
“Perjuangan kesatuan ini harus diutamakan dan orang muda perlu diseret bersama bagi mengumpul kekuatan Melayu ini.
“Inilah cabaran kepada yang berkuasa dan kepada yang tidak berkuasa. Saya berpendapat semua pemimpin Melayu yang menerajui parti politik masing-masing mesti ke meja bulat dan mencari formula menjenamakan balik perjuangan kebangsaan serta kepentingan orang Melayu,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, kenyataan ini bukan bermakna beliau bersifat perkauman dan menolak kemajmukan yang ada di Malaysia, namun kesatuan antara pemimpin Melayu harus menjadi teras kepada kestabilan politik di Malaysia.
“Ini bukan perkauman, ini adalah kenyataan. Orang Melayu mesti sedar jika mereka mempermainkan kuasa dan tak mengiktiraf kedaulatan, mereka akan merempat satu hari nanti.
“Jika tidak dijaga, kuasa politik akan beralih kepada golongan lain. Apabila kuasa itu beralih, sangat sukar menariknya kembali.
“Untuk itu, perkara 153 Perlembagaan iaitu menjamin kedaulatan orang Melayu dan bumiputera serta menjamin hak kepada komuniti lain. Jadi kita mesti jaga kepentingan itu selain daripada yang berkaitan dengan agama dan kedudukan raja-raja Melayu,” ujarnya.
Rais dalam masa yang sama turut mengulas permasalahan melibatkan Istana Negara dan badan eksekutif yang boleh diselesaikan melalui pertemuan empat mata.
“Perjumpaan empat mata yang ikhlas dan jitu sahaja mampu selesaikan apa yang berlaku. Di kalangan pihak diraja juga kena ada kesedaran. Tidak boleh juga kita lentung, kita punya pemimpin klasik dan kita harus mohon untuk memberi pandangan. Pihak diraja harus sedar bagaimana peranan eksekutif itu dan peranan itu diimbangi baik-baik,” Jelasnya lagi. – UTUSAN ONLINE










