PETALING JAYA : Usahawan yang terlibat dalam perniagaan pengguntingan rambut dan salun tidak lagi mampu bertahan sekiranya kerajaan masih tidak membenarkan sektor tersebut beroperasi dalam masa terdekat.
Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), T.N Winda Mohd. Tahir berkata, peniaga kecil tiada pilihan selain ingin menjalankan perniagaan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Malah katanya, keengganan membenarkan sektor ini beroperasi akan menyebabkan lebih ramai rakan-rakan dalam industri terus ‘bungkus’ dan gulung tikar, sekali gus lebih memburukkan keadaan apabila ramai yang akan hilang pekerjaan.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami telah beberapa kali mengemukakan surat permohonan rayuan dan cadangan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sektor gunting rambut dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kali terakhir adalah kelmarin, malangnya masih tiada jawapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah T.N Winda, di sebalik kebimbangan peningkatan kes penularan Covid-19, realitinya segelintir penggunting rambut rancak menjalankan perkhidmatan secara house call dan ini lebih membimbangkan kerana ia berlaku di banyak kawasan.
“Selapas dua bulan berlalu, menggunting rambut adalah satu keperluan bagi orang ramai dan ianya sebahagian daripada penjagaan diri. Kita tidak mahu timbul kluster daripada keadaan suasana yang tidak mampu dikawal. Mereka terpaksa berbuat demikian,” jelasnya.
Dalam pada itu, selepas mengambil kira situasi semasa, MBBA bersama beberapa lagi persatuan penggunting rambut dan salun akan menghantar satu petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memohon pertimbangan membenarkan sektor ini beroperasi semula.
“Ini adalah ikhtiar terakhir yang kami ada, harap pihak kerajaan mendengar dan memberikan kebenaran kami beroperasi semula segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE