PUTRAJAYA: Malaysia menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030 melalui Kesatuan Pos Sedunia (UPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membina masa depan lestari demi kesejahteraan sejagat.
Komitmen itu diterjemahkan melalui usaha kerajaan Malaysia untuk mempertahankan kerusi Council of Administration (CA) serta turut bertanding bagi kerusi Postal Operations Council (POC), Universal Postal Union bagi penggal 2022 – 2025.
Justeru, Malaysia menegaskan kembali komitmennya untuk menyokong secara aktif matlamat dan objektif UPU serta bersedia berkhidmat dalam UPU bagi penggal akan datang sekiranya berjaya dipilih sebagai ahli dalam CA dan POC kelak.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM, Ma.Sivanesan berkata, Malaysia menyatakan kesediaan untuk membangunkan sistem pos antarabangsa pasca pandemik Covid-19 ini.
Katanya, Malaysia memainkan peranan aktif selama tiga penggal sejak menjadi anggota Kesatuan Pos Sedunia pada tahun 1958 iaitu masing-masing dalam CA dan POC dan terlibat dalam Jawatankuasa Kerja Utama melibatkan kewangan, sumber manusia serta tadbir urus.
“Semua pihak perlu membangunkan momentum dalam dunia pasca pandemik dengan visi jelas untuk menarik minat pelabur ke dalam sektor ini iaitu dengan membina rangkaian sistem pos antarabangsa yang mampan.
“Ini akan lebih memudahkan ekosistem pengiriman surat dan bungkusan abad ke-21 dengan UPU sebagai ‘global orchestrator’ bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya dalam ucapannya di Persidangan Peringkat Menteri pada 10 Ogos lalu sempena Kongres ke-27 UPU bermula 9 Ogos hingga 27 Ogos depan yang dihoskan oleh Abidjan, Cote D’Ivore.
Menurutnya, kesesuaian UPU dalam ekonomi digital baharu juga harus diperluaskan melalui strategi yang bersesuaian dengan dasar, peraturan dan piawaian pos antarabangsa yang akan membina semula sistem pos antarabangsa.
“Sekiranya peluang ini dimanfaatkan, bukan sahaja dapat mengukuhkan rangkaian UPU, tetapi, juga membuka peluang baharu untuk pelbagai pihak. Kita juga perlu memperkasakan penguasaan data, kecerdasan buatan dan inovasi untuk membawa sistem pos ke era digitalisasi global,” katanya.
Ma.Sivanesan berkata, Malaysia turut memuji usaha UPU dalam mengembangkan Strategi Pos Abidjan yang akan menentukan arah dan masa hadapan UPU dalam tempoh empat tahun akan datang. -UTUSAN ONLINE










