ISKANDAR PUTERI: Majoriti pemandu teksi, pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang berdaftar dalam sistem kerajaan sudah menerima suntikan vaksinasi mereka atau telah mendapat tarikh temujanji untuk berbuat demikian.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah menyerahkan senarai nama 129,267 pemandu teksi dan pemandu e-hailing selain 73,394 penunggang p-hailing untuk proses vaksinasi.
“Berdasarkan data direkod setakat 29 Julai lalu, sekitar 79 peratus pemandu teksi dan pemandu e-hailing telah menerima vaksinasi mereka atau tarikh temu janji bagi tujuan itu.
“Bagi penunggang p-hailing pula, dianggarkan sekitar 71 peratus daripada mereka telah divaksin,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Vaksinasi Industri di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini hari ini.
Tambah Ka Siong, bagi memudahkan proses vaksinasi melibatkan golongan itu, senarai nama mereka telah dimasukkan dalam program awam iaitu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kaedah yang digunakan ini lebih cepat dan memudahkan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan bakal memuktamadkan peraturan bagi mengawal selia penunggang motosikal sektor p-hailing dalam waktu terdekat ini.
“Berdasarkan statistik, dianggarkan kira-kira 27 peratus riders menunggang dengan tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat atau memecut laju.
“Peraturan yang akan dilaksanakan itu bukan sahaja untuk mengawal selia peringkat pendaftaran tetapi juga pengoperasian penunggang,” ujarnya.
Ka Siong memberitahu, kementeriannya telah merangka kertas dasar berhubung perkara itu dan ianya akan dibentangkan untuk perbincangan di peringkat Kabinet.
“Sebelum ini, inisiatif sama telah diambil kerajaan mengawal selia sektor e-hailing, dan ini merupakan proses yang sama dilakukan untuk sektor p-hailing.
“Namun begitu, perlu diingat bahawa sektor ini merupakan industri ekonomi gig, jadi pengawalannya tidak boleh terlalu ketat,” katanya sambil memberitahu pelaksanaan perkara itu akan mengambil kira kepentingan pemegang taruh seperti syarikat, pemandu dan penunggang. -UTUSAN ONLINE










