JEMPOL: Ibu kepada remaja orang kurang upaya (OKU), Allahyarham Muhammad Firdaus Dullah iaitu Allahyarham Lolanopita Sadi, 47, yang meninggal petang kelmarin selalu menyatakan rasa kesal atas perbuatannya mengabaikan anak istimewanya itu.
Menceritakan perkara itu, sahabatnya, Soriati Parmin, 42, berkata, Allahyarham sering menganggap masalah kesihatan yang dialaminya adalah balasan daripada Allah kerana perbuatannya sebelum ini.
“Sewaktu dia sakit, dia ada cakap, apa yang terjadi kepadanya ketika ini adalah mungkin pembalasan buat dirinya.
“Bagaimanapun, saya sering menasihatkannya supaya tidak mengenang kembali perkara yang sudah berlalu dan dia perlu reda dengan apa yang telah terjadi. Saya minta dia mulakan hidup baharu dan supaya mementingkan kesihatan dirinya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Allahyarham Lolanopita meninggal dunia pada pukul 2.30 petang kelmarin di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selepas kira-kira sebulan dirawat di hospital berkenaan ekoran masalah buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi yang dialaminya.
Menurut Soriati, Allahyarham selamat dikebumikan di Kampung Mahsan, Jempol pada pukul 8 malam kelmarin.
“Hubungan saya dengan Allahyarham sangat rapat selepas dia datang menemui saya untuk bekerja di kedai makan yang saya usahakan. Bermula daripada situ dia menceritakan kisah silamnya, saya cuma menasihatkannya untuk memulakan hidup baharu.
“Tidak lama kemudian, tahap kesihatannya merosot dan saya menasihatkannya untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital, seterusnya doktor mengesahkan dia memang mengalami masalah buah pinggang.
“Selepas itu, sayalah yang menguruskan keperluannya termasuk menghantarkannya ke hospital rawatan dialisis. Selepas Hari Raya Aidiladha lalu, kesihatannya semakin merosot, saya mengambilnya untuk tinggal bersama saya kerana dia tinggal seorang diri,” katanya lagi.
Ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot, Soriati memberitahu, Lolanopita dimasukkan ke hospital pada 27 Julai lalu sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir, petang kelmarin.
Pada 18 November 2014, Lolanopita dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban.
Ia selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan.
Kisah Muhammad Firdaus menggemparkan negara apabila remaja istimewa itu ditemukan dalam keadaan menyedihkan pada 21 Jun 2014 ketika operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di kawasan rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai, Seremban.
Muhammad Firdaus meninggal dunia pada usia 16 tahun di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban pada tahun 2015 dipercayai akibat diserang sawan. -UTUSAN ONLINE