PETALING JAYA: Pelantikan Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berkuat kuasa esok sehingga 11 Oktober 2023 ditangguh.
Sumber Utusan Malaysia memberitahu, pemakluman penangguhan pelantikan jawatan itu dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh semalam.
“Dimaklumkan lantikan Roziah sebagai Naib Canselor yang berkuat kuasa 9 Ogos itu ditangguhkan sehingga keputusan baharu dibuat oleh pihak kerajaan,” katanya.
Semalam, portal dan akhbar melaporkan UiTM menerima Naib Canselor wanita pertama menggantikan Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.
Roziah sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) memangku jawatan tersebut sejak Mohd. Azrai tamat tempoh perkhidmatannya, 10 Mac lalu.
Pelantikan beliau sebelum ini dibuat oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos. – UTUSAN ONLINE