Kunjungan sahabat baik jadi punca enam sekeluarga dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

Kunjungan sahabat baik jadi punca enam sekeluarga dijangkiti Covid-19

SITI Noorhidanah Shamsuri menunjukkan gambar ibunya, Raziah yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang wanita tidak menyangka enam ahli keluarganya termasuk dirinya dijangkiti Covid-19 selepas menerima kunjungan sahabat baiknya pada Julai lalu.

Lebih memilukan, Siti Noorhidanah Shamsuri, 40, berkata, jangkitan tersebut turut mengorbankan ibunya, Raziah Md Din, 65.

Dia berkata, sahabatnya daripada kecil itu menziarahi mereka sekeluarga selepas kakak sulungnya diserang angin ahmar ringan.

Menurutnya, sahabatnya itu menziarahi mereka pada awal bulan lalu dan tidak menyedari turut membawa bersama virus Covid-19 kerana menganggap selesema yang dihadapinya merupakan selesema biasa.

“Kami sekeluarga memang tidak ke mana-mana sejak kakak diserang strok. Emak mempunyai penyakit tiga serangkai manakala, ayah pula Shamsuri Md Jais, 70, merupakan pesakit kanser.

“Beberapa hari selepas diziarahi, emak mula rasa tidak sedap badan dan demam. Emak jalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Jelai dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan keputusan mendapati emak positif Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Jelai 3, Gemas, di sini semalam.

Siti Noorhidanah menambah, lima ahli keluarganya termasuk dirinya turut menjali ujian calitan Covid-19 selepas ibunya itu disahkan dijangkiti virus tersebut.

“Saya segera menghubungi sahabat saya itu dan dia turut disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan disebuah klinik swasta. Kami menjalani kuarantin di bilik yang sama di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Port Dickson, sebaik sahaja mengetahui tahap oksigen emak semakin menurun, saya langsung tidak mahu bercakap dengan sahabat saya itu.

“Sehari sebelum hari Raya Aidiladha, keadaan kesihatan emak semakin teruk dan kemudian emak disahkan meninggal dunia. Saya rasa sangat sedih dan perasaan bercampur baur kerana dia tidak dapat melihat emak buat kali terakhir,” katanya yang kini mengakui semakin berhati-hati untuk menerima kunjungan orang ramai.

“Ayah sudah dapat satu dos vaksin Covid-19 jadi keadaan badan ayah mampu melawan penyakit berkenaan, emak pula masih belum dapat suntikan vaksin pada waktu itu,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN