PUTRAJAYA : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) memiliki satu kebun komuniti bagi memperkasa komuniti bandar dan meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan hidup.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, bagi mencapai hasrat itu, Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) diperkenalkan dengan menggariskan lima teras dan 17 strategi yang diharapkan menjadi panduan pelaksanaan dasar tersebut.
Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 14 PPR mempunyai Kebun Komuniti dan berjaya menghasilkan tuaian sayur-sayuran yang terdiri daripada tanaman terung, kangkung, bayam, cili, kubis, kailan dan sawi.
“Melalui DKKB yang dilancarkan hari ini, kerajaan komited memastikan kelangsungan program-program kebun komuniti yang telah diusahakan oleh komuniti PPR menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK).
“KPKT juga telah meneruskan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk menaikkan semangat komuniti bandar yang terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19. Sasaran DKKB ialah 1 PPR, 1 kebun komuniti,” katanya dalam majlis pelancaran dasar itu yang diadakan secara maya, hari ini.
Zuraida berkata, DKKB dibangunkan beserta garis panduan yang komprehensif daripada aspek mengurus, merancang, mereka bentuk, membangun dan melaksanakan kebun komuniti secara teratur mengikut peraturan serta prosedur sedia ada.
“KPKT merencana DKKB untuk memacu amalan perkebunan berhemah dalam bandar bagi memastikan rakyat dapat meraih peluang menghasilkan sumber makanan yang segar dan berkualiti untuk keperluan sendiri dan juga menjana pendapatan bagi menampung sara hidup seharian,” katanya.
Tambahnya lagi, DKKB dapat memastikan pengurusan landskap bandar yang efektif melibatkan tanggungjawab bersama antara Pihak Berkuasa Tempatan dan masyarakat dengan menekankan kepentingan mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan kejiranan atau kawasan lapang yang dibenarkan.
Berdasarkan statistik, katanya, tiga Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) mencatatkan hasil tuaian tertinggi untuk tempoh Januari hingga 31 Mei lalu.
“PSMK itu ialah PPRS Pinggiran Putra, Kuantan yang mencatat 311 kilogram (kg) hasil tuaian diikuti PPR Hiliran, Kuala Terengganu dengan 242.9 kg hasil dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh dengan 64.78 kg,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE