Ketua Bahagian Bersatu Pekan letak jawatan, kembali sertai UMNO - Utusan Malaysia

Ketua Bahagian Bersatu Pekan letak jawatan, kembali sertai UMNO

WAN ABU BAKAR Wan Mohamad (kanan) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Wan Rosdy Wan Ismail di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ketua Bahagian Bersatu Pekan, Datuk Wan Abu Bakar Wan Mohamad hari ini mengumumkan meletak jawatan dari Parti Pribumi Bersatu Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO.

Wan Abu Bakar berkata, beliau kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin parti itu menjadi tunjang perjuangan orang Melayu dan Islam.

Jelasnya, UMNO adalah sebuah parti besar dan mempunyai sejarah yang panjang dalam perjuangan orang melayu, pengalamannya dalam memperjuangkan kemerdekaan, memerintah negara dan mendepani pelbagai situasi krisis telah teruji.

“UMNO telah berjaya mengharungi pelbagai krisis besar antaranya pengharaman parti UMNO pada tahun 1988 dan berjaya menyatupadukan negara yang berbilang kaum di negara ini.

“Ketika krisis 1988 , saya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika itu telah bangkit untuk memastikan kelangsungan perjuangan UMNO dengan sama sama menggerakkan usaha membentuk UMNO baru.

“Sebagai sebuah parti besar yang mempunyai tiga juta ahli, peranan UMNO tidak boleh diabaikan. Sejak 2018, sekali lagi UMNO berdepan dengan krisis apabila gagal mentadbir negara setelah kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya di sini hari ini.

Borang penyertaan untuk menjadi Ahli UMNO Bahagian Jerantut diserahkannya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Janda Baik, Bentong hari ini.

Yang hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah.

Isnin lalu, Ketua Bahagian Bersatu Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meletak jawatan daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta merta.

Tengku Azlan membuat keputusan kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin parti keramat itu menjadi tunjang perjuangan orang Melayu dan Islam.

Wan Abu Bakar berkata, keputusannya kembali ke parti keramat orang Melayu itu juga bagi memberikan semangat kepada UMNO negeri Pahang di bawah kepimpinan Wan Rosdy yang telah membina parti tersebut dengan baik semenjak UMNO mengalami kekalahan di peringkat Persekutuan pada 2018.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk terus membantu UMNO sedaya upayanya supaya perjuangan dapat dimantapkan seterusnya mentadbir negara kembali.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong penuh kenyataan Wan Rosdy baru-baru ini berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Wan Rosdy melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dengan pengkhabaran gembira buat UMNO Pahang dengan kembalinya Wan Abu Bakar ke pangkuan parti berkenaan.

Untuk rekod, Wan Abu Bakar merupakan bekas Ahli Parlimen Jerantut dari UMNO pada 1982 hingga 1995 selama tiga penggal.

Beliau juga menjawat jawatan Timbalan Menteri Buruh, Kewangan dan Pertahanan dari 1986 hingga 1995. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya