ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kemudahan tambahan melibatkan beberapa sektor sosial dan ekonomi bagi individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Hafiz Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak terutama peniaga dapat membuat persediaan awal berikutan majoriti daripada mereka dilihat belum bersedia.
“Semalam diumumkan dan hari ini dikuatkuasakan, jadi, saya rasa akan ambil masa untuk peniaga bersedia kerana mungkin ada yang belum faham tentang kelonggaran yang diberi.
“Jadi, kita akan dapatkan maklumat kerana belum ada pengumuman jelas berhubung perkara itu dan kita akan rujuk kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewan raya Kampung Sungai Melayu, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi buat individu yang lengkap vaksin termasuk kebenaran makan di kedai dan beberapa aktiviti sukan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 dengan syarat telah mencapai 50 peratus kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan, setakat 18 Ogos, Johor mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa sebanyak 63.6 peratus untuk satu dos manakala 32.1 peratus bagi dua dos.
Sementara itu, Mohd. Hafiz memaklumkan, seramai 2,500 penduduk dari lima perkampungan sekitar bandar raya ini bakal menerima suntikan vaksinasi mereka dalam masa terdekat menerusi Program Imunisasi Outreach Vaksinasi Covid-19.
Beliau berkata, program yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Pejabat Pegawai Daerah Johor Bahru itu bertujuan membantu negeri Johor mencapai imuniti kelompok.
“Program ini akan turut menggunakan kemudahan Pusat Pemberian Vaksin bergerak khususnya bagi kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli.
“Kita sudah aturkan jadual dan setakat ini dijangka program ini akan memanfaatkan seramai 2,500 penduduk dari lima perkampungan sekitar Iskandar Puteri,” ujarnya.
Program vaksinasi yang berlangsung di Kampung Sungai Melayu hari ini melibatkan seramai 570 penerima vaksin. -UTUSAN ONLINE









