TAIPING: Kemelut politik di peringkat kerajaan Persekutuan diyakini tidak akan menyebabkan berlaku perubahan pentadbiran di Perak.
Setiausaha Pas Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, kemelut politik di Pusat yang berlaku ketika ini melibatkan sokongan ahli Parlimen.
Menurutnya, apa pun yang berlaku di Pusat, kerajaan negeri tetap berjalan seperti biasa dan pemimpin negeri akan bekerja mengikut posisi masing-masing terutama dalam menangani wabak Covid-19.
“Apa yang berlaku di peringkat kerajaan Pusat tidak semestinya akan berlaku di sini juga.
“Bagaimanapun, Pas mengambil pendirian tunggu dan lihat terlebih dahulu terhadap isu di peringkat Persekutuan sehingga selesai,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Rakan Muda Kamunting di sini hari ini.
Menurut Mohd. Akmal, Pas Perak mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat keputusan yang dicapai di peringkat Persekutuan sama ada berlaku perubahan atau sebaliknya.
Katanya, sebagai wakil rakyat, Pas lebih memberi tumpuan untuk memberi fokus kepada masalah rakyat terutama Covid-19.
“Jika perubahan politik di peringkat Persekutuan turut memberi kesan kepada negeri, maka, Pas akan menunggu arahan daripada pucuk pimpinan Pas Pusat,” katanya.
Menurutnya, Pas Perak berharap kerajaan sekarang dikekalkan supaya kepentingan rakyat yang sedang berhadapan saat getir ini dapat diberi tumpuan sepenuhnya.
“Apa-apa pun kita tunggu dan lihat dahulu apa yang berlaku di peringkat Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










