Kelantan tunggu perkenan Sultan Muhammad V - Utusan Malaysia

Kelantan tunggu perkenan Sultan Muhammad V

MOHD Amar Nik Abdullah menyerahkan sumbangan tablet kepada salah seorang penerima di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri perlu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebelum membenarkan individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 menunaikan solat lima waktu berjemaah serta solat Jumaat di masjid.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal ini kerana kebenaran berkaitan penggunaan rumah ibadat umat Islam itu tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

Menurutnya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) terlebih dahulu perlu mempersembahkan perkara itu kepada Sultan Muhammad V dan ia akan dikuatkuasakan secepat mungkin selepas mendapat perkenan baginda

“Kita lihat keputusannya nanti. Saya melihat perkara membuka masjid untuk solat berjemaah dan Jumaat ini amat baik.

“Keputusan itu sememangnya amat dinantikan kerana rakyat sudah lama memohon sedikit kelonggaran untuk solat di masjid. Jadi, kita berharap Tuanku dapat menimbang dan memberikan perkenan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu Mohd. Amar selaku Pengerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB) menyerahkan sumbangan tablet kepada anak-anak pelanggan A-Rahn untuk kegunaan mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Yang hadir sama Pengarah Eksekutif PKB Ab Aziz Yunus.

Mohd. Amar dalam pada itu memberitahu, kerajaan negeri berharap rakyat terus akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin sekiranya kelonggaran itu diberikan dalam masa terdekat.

Katanya, jika aspek pematuhan SOP diambil mudah, usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini bukan sahaja bakal gagal, malah, dikhuatiri memburukkan lagi situasi pandemik di Kelantan yang masih belum reda. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN