ALOR SETAR: Kerajaan negeri disaran membeli bekalan vaksin untuk meningkatkan jumlah vaksinasi dalam kalangan penduduk bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, langkah tersebut perlu diambil memandangkan peratusan jumlah penduduk di negeri ini yang menerima vaksin masih rendah pada kadar 31.5 peratus sejak 7 Ogos lalu.
Menurutnya, penduduk terlibat divaksin di 31 Pusat Pemberian Vaksin (PVV) di seluruh negeri ini.
Katanya, jumlah tersebut masih rendah berbanding Perlis merekodkan vaksinasi sebanyak 46.9 peratus daripada jumlah populasi dengan hanya empat lokasi PPV manakala Pulau Pinang telah mencapai 48.5 peratus yang mempunyai 30 lokasi PPV.
“Kerajaan negeri sepatutnya mampu dan berupaya mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi tujuan pembelian vaksin sekiranya Persekutuan tidak mampu atau berpilih kasih.
“Apa salahnya duit rakyat digunakan untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor pada 23 Julai lalu memaklumkan kerajaan negeri buat masa ini tidak berhasrat untuk membeli vaksin daripada syarikat tertentu kerana merasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Sehubungan itu, Kok Yew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga menambah, pihaknya juga perlu mendesak kerajaan Persekutuan untuk menambah kuantiti vaksin dengan kadar segera untuk memenuhi keperluan populasi rakyat Kedah.
“Punca utama kita desak supaya vaksin ini dipergiatkan kerana ia dapat mengurangkan gejala serius.
“Keselamatan rakyat perlu diutamakan dan rakyat Kedah berhak dilindungi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










