‘Kapal Titanic nak karam, maaf kamu terlambat’ - Utusan Malaysia

‘Kapal Titanic nak karam, maaf kamu terlambat’

Keadaan kecoh barisan pembangkang pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen baru-baru ini. – FOTO JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kapal Titanic tengah nak karam. Siapa nak naik kapal dah nak karam? Maaf, kamu terlambat. Saya sangat tawar hati dan langsung tidak berminat.”

Demikian tegas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil me­ngenai ‘tawaran’ Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya kepada pembangkang menjelang usul undi percaya di Dewan Rakyat, September ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Muhyiddin seakan-akan telah membelakangi fungsi Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 43 (2) (a).

“Ini dalam bab melantik seorang Perdana Menteri iaitu dalam Perlembagaan, hanya seorang sahaja yang diberi kuasa iaitu Yang di-Pertuan Agong. Mana ada pilihan ketiga dengan membentuk kerajaan bi-partisan,” soalnya.

Beliau turut mengulangi pe­negasan pembangkang itu Muh­yiddin cuma ada dua pilihan iaitu letak jawatan atau membubarkan Parlimen.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, seseorang pemimpin yang mahu panjang umur dalam politik sepatutnya tidak perlu lompat sana sini yang membuatkannya ‘akan jadi murah’.

“Esok nak bertanding siapa nak undi kita? Lepas Covid-19 ini selesai, Parlimen akan dibubarkan. Biarlah kita begini, kita ma­suk gelanggang dengan harga yang mahal.

“Lagipun, logiknya kalau kapal dah nak karam, siapa nak tumpang? Saya pun telah didatangi oleh orang yang berpengaruh dan mendapat tawaran untuk duduk dalam kerajaan pada dua minggu lepas. Tapi saya tolak,” katanya.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad pula berkata, pengumuman Perdana Menteri berkenaan beberapa perkara hanya disifatkan sebagai sia-sia dan tidak membawa apa-apa pengertian.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mendakwa, tindakan Muhyiddin itu dilihat tidak bermaruah selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kekal dengan pendirian parti tersebut dan menolak tawaran yang diusulkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya berkata, tawaran yang diberikan seolah-olah satu rasuah kepada seluruh ahli Parlimen.

“Pejuang sekeras-kerasnya menolak rasuah dan tawaran yang diberikan dan ia jelas seperti satu rasuah kepada ahli Parlimen untuk beliau mengekalkan kuasa. Beliau sepatutnya meletak jawatan dan tidak perlu menawarkan tawaran yang berupa rasuah begini.

“Sebenarnya, beliau yang harus meletakkan jawatan dan tak perlu persoalkan pihak pembangkang mempunyai majoriti atau tidak kerana keputusan memilih siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bagi DAP pula, walaupun parti itu masih belum membuat keputusan berkenaan tawaran persefahaman rentas parti, namun lima ahli Parlimen DAP membayangkan menolak hasrat dikemukakan Perdana Menteri.

Mereka adalah M. Kulasegaran (Ipoh Barat), Hannah Yeoh (Segambut), P. Kasthuriraani (Batu Kawan), Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching) dan Teresa Kok (Seputeh).

“Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan jika gagal memperoleh sokongan Dewan Rakyat. Perkara ini jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Kulasegaran.

Dalam pada itu, Hannah berkata, masalah besar Kerajaan PN adalah kegagalan mentadbir.

“Perutusan Perdana Menteri itu tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN