JOHOR BAHRU: Pelaksanaan program vaksinasi berbayar yang diperkenalkan iaitu Johor Vaccine Immunisation Programme (JVIP) adalah khusus buat sektor industri atau syarikat yang mahu menyegerakan suntikan kepada pekerja bagi membolehkan mereka beroperasi.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, bagaimanapun, perkara itu bukan program yang diwajibkan kerana pemberian vaksin menerusi program awam tetap berlangsung termasuk buat pekerja dalam sektor berkenaan.
Menurut beliau, terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat bahawa jika mahu segera mendapatkan suntikan vaksin mereka perlu bayar sedangkan perkara itu tidak tepat.
“Johor sebagai sebuah negeri industri adalah amat penting untuk kita turut menyuntik pekerja termasuk warga asing kerana kita juga memahami keperluan syarikat multinasional agar mereka dapat beroperasi walau dalam tempoh pandemik ini.
“Oleh itu kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuklah KPJ Healthcare dan Pharmaniaga untuk memulakan program vaksin berbayar, bukan melalui program vaksin awam.
“Bermakna program vaksin berbayar ini hanya kepada industri yang memerlukan pekerja mereka divaksin segera dan ia bukan sesuatu yang diwajibkan,” katanya ketika berucap merasmikan Pembukaan Persidangan Virtual Dewan Muda Johor 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.
Semalam, Hasni memberitahu bahawa kerajaan Johor telah memulakan JVIP dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok sekali gus dapat mempercepat pemulihan ekonomi negeri.
Tambah beliau, mana-mana syarikat atau pemain industri sama ada daripada kategori keperluan atau bukan keperluan yang mahu menyegerakan suntikan pekerja mereka boleh berbuat demikian menerusi JVIP.
“Jadi saya berharap masyarakat di luar sana tidak terkeliru dengan program ini seolah-olah kerajaan meminta mereka membayar untuk mendapatkan suntikan vaksin. Tidak, ia bukan begitu,” ujarnya.
Sementara itu, Hasni berkata, Johor masih berada dalam kategori Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara kerana beberapa faktor antaranya jumlah kes harian yang masih melebihi 400 kes dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang melebihi 70 peratus.
“Daripada faktor suntikan, Johor telah melepasi syarat diperlukan untuk memasuki Fasa 2 iaitu perlulah melebihi 17 peratus penduduk dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin mereka.
“Namun begitu kerajaan negeri komited untuk memastikan kita berada di landasan terbaik untuk memulihkan semula sektor ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE