SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pihak keluarga atau waris atas setiap pengurusan jenazah Covid-19 yang diuruskan oleh pihaknya.
Pengarahnya, Datuk Mohd.Shahzihan Ahmad menjelaskan, terdapat beberapa perkara perlu dimaklumkan kepada waris keluarga terutama berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pengurusan jenazah Covid-19.
Beliau berkata, bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan (termasuk kos membuat keranda jika perlu) yang perlu ditanggung oleh keluarga atau waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan terbabit.
“JAIS hanya menguruskan jenazah Covid-19 yang dilepaskan oleh pihak hospital. Adalah menjadi tanggungjawab JAIS memastikan urusan hal ehwal umat Islam di Selangor diurus sebaik-baiknya termasuklah dalam hal melibatkan kematian.
“Sehubungan itu, urusan pengurusan jenazah akibat Covid-19 juga adalah menjadi tanggungjawab Jais bagi mengurus dan membuat apa-apa ketetapan mengenainya bagi memastikan pengurusan jenazah dapat dibuat dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shahzihan berkata demikian susulan wujud dakwaan tidak tepat terhadap JAIS dalam media sosial berhubung pengurusan jenazah Covid-19 dan menyifatkannya sebagai suatu telahan yang menyimpang, tidak tepat, bersifat prejudis dan menimbulkan perspektif buruk.
Mengulas lanjut, prosedur baharu pengendalian pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor disemak semula oleh JAIS demi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan pasukan barisan hadapan (frontliner) di hospital terutamanya di Jabatan Forensik bagi mengelakkan berlaku semula ‘backlog’ jenazah kes kematian orang Islam.
“JAIS turut meneliti dan memperhalusi beberapa isu dan permasalahan, fakta, kekuatan dan kemampuan pasukan jenazah Covid-19 sedia ada, keutamaan mengurus jenazah dengan kadar segera, kepentingan, kebajikan serta keperluan pihak terlibat terutama keluarga atau waris.
“Perkara seperti memaklumkan tentang kematian pesakit Covid-19 dan kehadiran pihak waris ke hospital adalah di bawah pengurusan pihak hospital. JAIS telah menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak.
“Bagi situasi berkeperluan khas, JAIS juga boleh membuat pertimbangan tertentu untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan kepentingan umum, khususnya umat Islam,” jelasnya.
Justeru, Mohd. Shahzihan berkata, mana-mana individu boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan berlaku pelanggaran ketetapan terbaharu JAIS termasuk perbuatan bersifat jenayah atau salah guna kuasa.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, JAIS masih mempelawa para sukarelawan dan mana-mana NGO yang ingin turut bekerjasama dalam membantu menguruskan jenazah Covid-19, namun, hendaklah patuh kepada ketetapan yang dibuat oleh JAIS. -UTUSAN ONLINE










