Ibu tunggal berniaga sambil dukung bayi - Utusan Malaysia

Ibu tunggal berniaga sambil dukung bayi

NURUL ASYIKIN Kassim berniaga sambil mendukung Salman Al-Mustafar Rabith Auwaly di hadapan sebuah bank di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kelibat seorang ibu tunggal yang mencari rezeki dengan berniaga di hadapan sebuah bank di Masjid Tanah, dekat sini sambil memangku bayi meruntun hati orang ramai.

Nurul Asyikin Kassim, 36, berkata, tujuannya membawa anak lelakinya, Salman Al-Mustafar Rabith Auwaly yang berusia setahun bukan hendak meraih simpati masyarakat, tetapi demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, ketiadaan penjaga serta anak-anak lain yang masih kecil dan tidak mampu menguruskan adik bongsu mereka menyebabkan dia bertekad membawa Salman Al-Mustafar bersama.

“Sebelum ini saya adalah suri rumah sepenuh masa tetapi selepas berpisah dengan suami tahun lepas, saya perlu keluar bekerja. Kalau tidak bekerja bagaimana saya hendak mencari wang untuk belanja dapur, bayar sewa rumah dan membeli susu anak.

“Saya mula berniaga di sini sejak Oktober tahun lepas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Pada masa sama, anak saya turut berniaga di lokasi lain bagi menambah pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Nurul Asyikin memberitahu, pada awalnya dia berniaga buah potong, aiskrim Malaysia dan kuih denderam di kawasan pantai seperti Tanjung Bidara, Telok Gong, Pantai Sungai Tuang dan Pengkalan Balak.

Katanya, dia hanya berjalan kaki sepanjang pesisir pantai untuk mencari pelanggan sambil mendukung Salman Al-Mustafar yang ketika itu berusia lima bulan.

“Saya berjalan dan bertanya kepada orang ramai terutama pelancong jika ada yang mahu membeli. Sehari saya boleh dapat sehingga RM80 kerana jualan di kawasan pantai sangat memberangsangkan.

“Bagaimanapun, selepas PKP dilaksanakan, pendapatan saya terjejas teruk. Disebabkan itu, saya mencari lokasi lain dan memilih untuk berniaga di hadapan bank,” ujarnya yang akan kembali berniaga di pantai selepas sektor pelancongan pulih.

Tambahnya, pendapatan yang diperoleh setiap bulan sekadar cukup makan untuk membayar segala komitmen bulanan.

“Saya mula berniaga pukul 2 petang sehingga barang niaga habis dijual. Alhamdulillah, masyarakat di sini sangat prihatin dan sentiasa memberi sokongan terhadap jualan saya termasuk yang memberi sumbangan ikhlas,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN