HTAR nafi pesakit duduk atas kadbod - Utusan Malaysia

HTAR nafi pesakit duduk atas kadbod

KOMPLEKS Rawatan Harian di HTAR sudahpun dijadikan wad sementara bagi merawat pesakit Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menafikan terdapat pesakit yang terpaksa duduk di atas lantai di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu akibat penerimaan pesakit yang ramai.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan sebuah portal berita mendakwa terdapat pesakit yang terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod selama dua hari, malah, berita itu turut dikongsi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam media sosialnya.

Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi dalam kenyataan memaklumkan, kejadian sedemikian tidak berlaku dan menafikan mengalami kekurangan bekalan peralatan dan perubatan di hospitalnya.

“Pihak hospital ingin menjelaskan bahawa setelah semakan dan siasatan dibuat, tiada pesakit didapati duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Malah, jabatan berkenaan kini sedang menunggu pembukaan Hospital Lapangan di HTAR yang dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang agak ramai di HTAR,” katanya.

Terdahulu, portal berkenaan dilihat melaporkan menerima keluhan daripada seorang pesakit yang meminta ahli keluarganya menghantarkan alas kadbod untuk duduk di atas lantai berikutan katil dan kerusi di hospital itu penuh.

Bagaimanapun, Dr. Zulkarnain menjelaskan sekali lagi, pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di HTAR akan dipindahkan ke wad sementara di Kompleks Rawatan Harian (ACC).

“Pesakit di wad sementara di ACC berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi dengan penghawa dingin. Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan ditempatkan di kerusi atau kerusi roda terlebih dahulu.

“Justeru, dakwaan bahawa pesakit terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod adalah tidak benar,” jelasnya.

Namun, beliau menambah, HTAR mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang awam untuk penambahbaikan bagi memastikan akses kesihatan dan rawatan yang saksama kepada semua pesakit yang menerima rawatan di hospital itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya