TELUK INTAN: Sambutan Hari Kebangsaan 2021 amat bermakna buat Hisham Sahak, 42, bukan sahaja kerana meraikannya dengan semangat patriotik tetapi turut menggamit memori Allahyarham bapanya yang merupakan seorang pengayuh beca semasa hayatnya di bandar ini.
Hisham, yang bekerja di unit pelancong Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) berkata, setiap kali sambutan Bulan Kemerdekaan, dia pasti teringatkan arwah bapanya, Sahak Mat Piah, yang akan menghias becanya dengan Jalur Gemilang sambil membawa pelancong di sekitar bandar ini.
Menurutnya, para pelancong gemar menaiki beca bapanya yang dihiasi Jalur Gemilang dan biasanya pelancong akan merakamkan gambar mereka bersama beca bapanya di hadapan Menara Condong di sini.
“Setiap kali Bulan Kemerdekaan, saya teringat arwah ayah saya yang bekerja sebagai nelayan dan mencari pendapatan tambahan dengan mengayuh beca di bandar ini.
“Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, dia gembira dan begitu bersemangat menghias becanya dengan Jalur Gemilang sambil membawa penumpang.
“Saya dapat lihat dia gembira dan bangga kerana dapat meraikan Hari Kebangsaan dengan caranya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sahak merupakan pengayuh beca terkenal di bandar ini sejak tahun 1960-an dan meninggal dunia pada tahun 2014.
Selepas bapanya meninggal dunia, Hisham menjaga beca milik bapanya itu tetap dijaga dengan baik.
Malah, Hisham menjadikan beca peninggalan bapanya untuk membawa pelancong mengelilingi bandar ini yang disediakan di bahagian pelancongan MPTI yang terletak di kawasan Menara Condong di sini.
Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19, kali ini tidak ramai pelancong yang datang ke bandar ini atau ke Menara Condong.
Untuk mengenang semula nostalgia arawah bapanya, Hisham mengayuh beca bapanya manakala anaknya, Amirul Hakimi, 15, mengayuh basikal tua atau basikal klasik mengelilingi bandar Teluk Intan baru-baru ini.
Dua beranak itu berhenti ke kawasan tumpuan pelancong di bandar ini iaitu di Dataran Menara Condong.
Hasham berkata, dia berbuat demikian kerana mahu menghidupkan semula memori bapanya serta pengangkutan beca di bandar ini suatu ketika dahulu.
Malah dia juga bercadang untuk menghidupkan semula pengangkutan beca di bandar ini.
“Beca pernah menjadi pilihan pelancong untuk mengelilingi bandar ini dan saat paling meriah buat pengayuh beca ialah semasa sambutan Hari Kebangsaan apabila masing-masing menghias beca mereka dengan Jalur Gemilang.
“Sambutan Hari Kebangsaan ketika itu cukup meriah dengan kehadiran beca di sekitar bandar ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE