Hentikan isu kaum, pelihara perpaduan - Utusan Malaysia

Hentikan isu kaum, pelihara perpaduan

Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum perlu terus diterapkan bagi menjadikan Malaysia negara yang lebih berjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak mengetepikan isu perkauman, kata Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, perjalanan untuk mencapai perpaduan yang kukuh masih jauh dan lebih banyak usaha perlu dilakukan oleh pemimpin dan seluruh rakyat jika mahu meraih kesepaduan antara kaum.

“Di ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, ia sebenarnya adalah peluang untuk kita ketepikan isu perkauman dan membantu yang memerlukan.

“Kurangkan permainan politik, fokus kepada kesejahteraan dan kesihatan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Prof. Dr. P. Sivamurugan dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) mengakui ikatan perpaduan antara rakyat masih di tahap yang kurang memberangsangkan, namun ia masih boleh diperbaiki.

Beliau melihat politik sebagai antara elemen yang banyak menjejaskan perpaduan di negara ini terutama sejak akhir-akhir ini, sedangkan ahli-ahli politik sepatutnya mengetepikan perbezaan dan meraikan kepelbagaian.

“Kita harus lakukan sesuatu untuk menanam semula semangat di sekolah, gerakkan agensi-agensi kerajaan untuk pupuk perpaduan.

“Para pemimpin perlu menjadi contoh dengan menggunakan tiga aspek iaitu faham, hormat dan terima supaya hubungan antara etnik dan intra etnik dapat dibina, dipelihara dan diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, tokoh bahasa, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, para pemimpin perlu menjadi teladan dalam memupuk perpaduan rakyat kerana antara punca timbulnya sentimen perkauman ialah sikap setengah pemimpin yang terdorong oleh faktor politik dalam meraih sokongan.

“Semua warganegara perlu memahami dan menghormati kepelbagaian agama, budaya dan adat resam. Tolak ansur perlu diutamakan apabila timbul salah faham dan tidak patut dikaitkan dengan isu perkauman,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, Islam juga menuntut umatnya saling berpadu, hormat-menghormati dan melarang permusuhan hanya kerana berlainan keturunan.

“Allah menjadikan pelbagai bangsa dan puak supaya manusia saling berkenalan dan saling memanfaatkan kelebihan yang ada pada bangsa lain,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×