Hasil jualan udang pancing beli Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Hasil jualan udang pancing beli Jalur Gemilang

SALIM Abdul Hamid dan dua cucunya melihat Jalur Gemilang yang mereka pasang di Kampung Tebing Rebak dekat Bagan Datuk semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Wang jualan udang galah yang dipancing di sungai digunakan untuk membeli Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan negara ke-64 tahun ini.

Itu yang dilakukan seorang penduduk di Kampung Tebing Rebak di sini, Salim Abdul Hamid, 58, yang tidak melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan negara kali ini.

Menurutnya, mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan negara dilakukannya setiap tahun.

Katanya, selain membeli Jalur Gemilang, dia sanggup masuk ke dalam hutan untuk mencari buluh untuk memasang Jalur Gemilang.

“Sudah menjadi kemestian buat saya memasang Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.

“Wang untuk membeli Jalur Gemilang ini saya gunakan hasil jualan udang yang saya pancing di Sungai Perak. Lebihan jualan udang saya beli Jalur Gemilang.

“Saya  bersama dua orang cucu mula menghias rumah  dengan memasang bendera Jalur Gemilang sejak  empat hari lalu untuk menunjukkan rasa cinta  kepada negara. Saya kibarkan Jalur Gemilang menggunakan buluh yang tinggi, biar nampak dari jauh dan seronok melihatnya apabila berkibar ditiup angin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Salim, sambutan hari kemerdekaan kali ini tetap dirasakan walaupun negara berdepan Covid-19.

Katanya, dia mahu menghidupkan suasana sambutan hari bersejarah negara walaupun di kampungnya itu penduduk semakin kurang disebabkan ramai yang sudah berhijrah.

“Saya mahu memberikan teladan kepada orang lain agar menghargai kemerdekaan negara dan mensyukuri nikmat yang dikecapi berbanding ketika negara dijajah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung,  Mohamad Yusup Taib berkata, sebelum ini sambutan kemerdekaan negara meriah dengan sumbangan Jalur Gemilang daripada pelbagai pihak namun ia berkurangan tahun ini disebabkan Covid-19.

Katanya, dia berharap penduduk di kampung ini memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing agar suasana sambutan hari kemerdekaan negara ke-64 meriah dalam keadaan Covid-19.

“Saya berhasrat nak belikan Jalur Gemilang untuk setiap rumah agar suasana di Kampung Tebing Rebak  ini lebih meriah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN