KEMAMAN: Seorang pemandu van sekolah kini menjual petai di tepi jalan di Kampung Binjai di sini bagi menyara kehidupan keluarga di samping membayar ansuran bulanan kenderaannya yang sudah beberapa bulan tertunggak.
Nor Aizan Sulong, 60, dari Kampung Batu 4, Binjai berkata, kerjaya yang diceburi sejak dua bulan lalu itu membolehkannya meraih pendapatan mencecah RM80 sehari.
“Petai tidak boleh disimpan lama kerana mudah rosak, jadi untuk memastikan barangan ini habis, anak bongsu yang berusia 33 tahun terpaksa membantu menjajanya dengan menaiki motosikal di sekitar Chukai pada setiap petang.
“Hasil jualan kemudian digunakan secara berjimat-cermat untuk perbelanjaan harian dan bagi disimpan untuk membayar ansuran van,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Menurut Nor Aizan, selain meniaga petai dia turut menghasilkan laksam bagi dihantar ke kedai-kedai di kawasan sekitar selain untuk pelanggan yang menempah.
Di samping itu, katanya, kesungguhan untuk mencari duit selepas hilang sumber pendapatan kerana penutupan sekolah turut mendorongnya membuat kuih-muih jika mendapat tempahan.
“Saya sanggup buat apa sahaja, asalkan halal walaupun keuntungannya kecil. Saya berharap sekolah dapat dibuka semula bulan depan agar saya boleh terus mencari rezeki,” katanya yang 22 tahun memandu van sekolah. – UTUSAN