Hanya undian semasa usul di Parlimen diambil kira - Utusan Malaysia

Hanya undian semasa usul di Parlimen diambil kira

RONALD Kiandee (dua, kanan) mendengar taklimat ringkas daripada Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hanya sokongan semasa usul undi percaya di persidangan Parlimen sahaja yang akan diambil kira.

Demikian kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai tindakan pemimpin UMNO yang kini mula meletak jawatan bagi menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan ini berkata, pelbagai pihak memberi pandangan berbeza mengenai sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Apa pun pendapat ini hanya memberi kesan kepada kepimpinan Muhyiddin apabila usul undi percaya dikemukakan di Parlimen pada September ini.

“Keputusan akhir sama ada kepimpinan Muhyiddin mendapat sokongan atau pun tidak hanya boleh ditentukan dalam persidangan Parlimen.

“Sokongan yang paling penting adalah sokongan semasa usul dikemukakan di Parlimen kerana sekarang ini, ada pihak yang menyokong dan ada pihak yang menarik sokongan. Tapi, sokongan yang akan dikira hanya semasa usul dikemukakan di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan kerja-kerja pembinaan pusat pemprosesan buah-buahan Sabah di Pejabat FAMA Negeri Sabah hari ini.

Ahli Parlimen Beluran ini berkata, Bersatu amat mengalu-alukan pendirian UMNO Sabah untuk terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri.

Bagaimanapun katanya, diharap UMNO Sabah juga akan menyokong kepimpinan Muhyiddin selaku Perdana Menteri apabila usul undi percaya dikemukakan di Parlimen kelak.

Semalam, UMNO Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan mereka akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti namun, di peringkat negeri, kerjasama dengan GRS masih diteruskan.

UMNO Sabah menggunakan kuasa autonomi untuk mengekalkan kerjasama dan terus menyokong kerajaan GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sejajar dengan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) lalu.

“Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa juga ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah,” kata kenyataan berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN