PETALING JAYA: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) merayu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya pemilik kenderaan yang gagal memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan mengikut tarikh yang telah ditetapkan tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, pihaknya telah menghantar surat rayuan berikutan keputusan JPJ sebelum ini yang mewajibkan semua pemilik kenderaan khususnya kategori perkhidmatan dan pengangkutan memperbaharui cukai jalan dan pemegang lesen memandu diperbaharui selewat-lewatnya pada 30 September ini.
Beliau berkata, satu surat rayuan telah dihantar kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim di pejabatnya di Putrajaya berhubung isu tersebut.
“Kami memikul tanggungjawab untuk membuat rayuan kepada Ketua Pengarah JPJ supaya keputusan tersebut dimansuhkan dahulu, kerana ketika ini rakyat khususnya kami dari sektor pengangkutan sedang dalam kesusahan.
“Malah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah menyebabkan kami kini tidak lagi mampu untuk membeli makanan untuk keluarga kami, apatah lagi memperbaharui lesen dan cukai jalan seperti yang diarahkan oleh JPJ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, JPJ juga perlu melihat keupayaan kaunter mereka menerima kehadiran pelanggan yang ingin membuat urusan memperbaharui lesen dan sebagainya.
“Ketika ini segala urusan di kaunter JPJ mahupun Pejabat Pos perlu melalui temu janji, kami turut menerima rungutan tempoh menunggu temu janji terlalu lama.
“Oleh itu, kami mencadangkan kepada agar penangguhan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan diberikan sehingga berakhir pendamik Covid-19 atau selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021, namun bergantung kepada pelaksanaan PKP dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mengulas lanjut, Kamarudin menegaskan bahawa trend peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang terlalu tinggi setiap hari turut menimbulkan kebimbangan kepada mereka sekiranya kerajaan sekali lagi akan melaksanakan PKP yang lebih ketat dan sekaligus akan menyebabkan kami tidak boleh beroperasi.
“Ini bukanlah waktu yang sesuai bagi JPJ meminta orang ramai khususnya kami daripada sektor pengangkutan memperbaharui cukai jalan atau pun lesen memandu.
“JPJ seharusnya mengambil maklum keadaan semasa negara dan keadaan rakyat yang sedang bergelut dalam kepayahan hidup,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE