MUKADIMAH
BERMULA dengan kegagalan mencari penyelesaian parkir kenderaan digital untuk Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 2008, ia tidak mematahkan semangat Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Govicle Sdn. Bhd., Muhamad Nasir Habizar untuk mengubah landskap tempat letak kereta di Malaysia menerusi digitalisasi.
Misi itu akhirnya direalisasikan melalui penubuhan syarikat berkenaan pada 2017 dan berjaya membina platform digital untuk kegunaan beberapa majlis perbandaran dan para pengguna di negara ini termasuk di luar negara.
“Kita mahu memperluas sistem parkir pintar di peringkat global dengan keupayaan 100 peratus bakat tempatan,” kata Muhamad Nasir kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurugambar, FAISOL MUSTAFA ketika ditemui di pejabatnya di Cyberjaya, baru-baru ini.
UTUSAN: Boleh kongsikan serba sedikit tentang syarikat Govicle ini.
MUHAMAD NASIR: Govicle Sdn. Bhd. yang sebelumnya dikenali sebagai JomParkir Sdn. Bhd., ditubuhkan pada tahun 2017. Idea visi dan misi syarikat bermula pada tahun 2008 apabila saya diundang untuk mencari penyelesaian tempat letak kereta digital di Malaysia, pada sesi yang dihoskan oleh Maju Holdings.
Objektif utama sesi temubual tersebut adalah untuk mengemukakan penyelesaian tempat letak kereta untuk TBS. Namun inisiatif itu tidak berhasil. Bertitik tolak dari situ ia menjadi motivasi kepada saya untuk mengubah landskap tempat letak kereta di negara ini dengan memberikan penyelesaian tempat letak kereta digital bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengguna.
Bermula dengan menjadi peneraju industri parkir kenderaan digital di Malaysia, syarikat berkembang secara beransur-ansur dan memperluas perkhidmatan ke negara di Asia Tenggara dan kini ‘menguasai’ lebih dari 20 lokasi di seluruh negara termasuk dua lokasi di luar negara iaitu di Arab Saudi dan Sri Lanka.
Pada penggal pertama tahun ini, syarikat melancarkan lima lokasi terbaharu iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Sepang, Perbadanan Putrajaya (PPj), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Majlis Daerah Pasir Mas, Kelantan.
Apakah bentuk perniagaan utama syarikat ini?
Govicle Sdn. Bhd. adalah syarikat teknologi Vehicle-to-Everything (V2X) terkemuka di Asia Tenggara. Dengan tujuan membina pertukaran data kenderaan pertama di Asia Tenggara, Govicle memanfaatkan peluang pasaran dengan memberi tumpuan kepada V2X, internet benda (IoT) dan pengintegrasi sistem (SI).
Govicle kini mengembangkan perniagaannya dan akan memperkenalkan aplikasi super berorientasikan V2X yang mana fokus kami adalah menyediakan pengguna dengan lima tonggak utama perkhidmatan merangkumi tempat letak kenderaan pintar, perkhidmatan pintar, keselamatan pintar, ejen pintar dan tiket pintar.
Apakah insiatif terkini yang dibangunkan Govicle?
Govicle akan melancarkan aplikasi super itu pada 1 September ini. Ia sebuah aplikasi khusus kepada pengguna kenderaan yang memenuhi keperluan harian kenderaan mereka.
Salah satu perkhidmatan terbaik dalam aplikasi itu ialah bantuan kecemasan SOS 24/7 untuk pemandu yang terkandas di jalan raya bagi mendapatkan bantuan segera dari pihak berkuasa termasuk bantuan perubatan dengan cara lebih sistematik, sekiranya mereka menghadapi kemalangan tidak dijangka semasa berada di jalan raya.
Antara servis lain dalam aplikasi Govicle ialah pengguna boleh mendapat akses terus pembaharuan insurans kereta dan cukai jalan dengan potongan diskaun sebanyak 10 peratus. Di samping itu, pengguna juga dapat memantau keperluan pengurusan kenderaan mereka seperti perkhidmatan dan status jaminan kereta, peringatan penyelenggaraan dan sejarah perbelanjaan. Inilah beberapa kemudahan yang disediakan Govicle kepada pengguna.
Apakah jangkaan nilai pendapatan syarikat dalam tempoh setahun?
Sebelum wabak Pandemik Covid-19 berlaku, Govicle meraih sebanyak lima juta transaksi pada 2019 dengan lebih setengah juta pengguna aktif. Pada tahun berkenaan, syarikat kami mencatat keuntungan RM10 juta.
Pertumbuhan Govicle semasa wabak Covid-19 agak mencabar tetapi masih kukuh kerana syarikat kami terus menjana hampir sejuta pengguna, di samping 14 pelancaran lokasi terbaharu iaitu tujuh di pasaran domestik dan tujuh di luar negara.
Kami akan mengembangkan perkhidmatan ke lebih banyak negara dengan terdekat adalah di Thailand pada tahun depan, selain Brunei dan Indonesia.
Seperti di Arab saudi, perkhidmatan kami berkembang baik di sana memandangkan kerajaan Arab Saudi memberi fokus ke arah pendigitalan dan transaksi tanpa tunai. Negara berkenaan mahu perkhidmatan kami dikembangkan di stesen kereta api dan taman-taman awam termasuk taman tema di Riyadh.
Adakah syarikat terkesan dengan pandemik Covid-19? Bagaimanakah strategi dan pendekatan perniagaan diambil syarikat untuk bertahan dalam tempoh pandemik dan melangkah ke hadapan terutama dalam penggunaan digital?
Banyak perniagaan menghadapi cabaran dalam masalah kewangan kerana wabak Covid-19 dan Govicle tidak terkecuali. Govicle menghadapi masalah kewangan pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020. Bagaimanapun, kami berjaya memperoleh pembiayaan modal dari salah sebuah syarikat Korea iaitu Capitalist Venture yang dikenali sebagai TheVentures.
Kerjasama strategik Govicle dengan TheVentures membolehkan syarikat kami membina pertukaran data kenderaan pertama di Asia Tenggara. Ini memberikan nilai lebih besar kepada semua pihak berkepentingan kami, khususnya PBT ke arah proses digitalisasi dan perkhidmatan dalam menerajui industri V2X.
Selain itu, kami bekerjasama rapat dengan agensi lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii); Cyberview; Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Cradle Fund. Pihak kami mendapat pembiayaan dana daripada agensi-agensi kerajaan berjumlah RM6.2 juta sejak ditubuhkan.
Govicle sangat berbesar hati kerana menjadi salah satu daripada 200 usahawan teknologi terkemuka mendapatkan dana melalui pelbagai platform pendanaan awam.
Setelah ‘lockdown’ berakhir, terdapat peningkatan pesat untuk muat turun produk utama syarikat yang merupakan aplikasi JomParking memandangkan Malaysia menggunakan sepenuhnya penyelesaian tanpa tunai dan digital.
Pada masa sama, Govicle menyusun semula strategi perniagaan kami dan mampu bertahan dengan menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan perniagaan ketika ini termasuk menjenamakan semula JomParkir Sdn. Bhd. menjadi Govicle Sdn. Bhd. dan kini mengutamakan konsep produk baharu kami iaitu Govicle App.
Apakah pencapaian terbaik syarikat sepanjang tempoh ini?
Produk kami adalah 100 peratus buatan Malaysia dengan kepakaran anak-anak muda tempatan yang bakal melebarkan sayap ke lebih banyak negara luar untuk membangunkan sistem parkir kenderaan pintar.
Setakat ini, kami menerima pelbagai anugerah dan pencapaian seperti Best IoT Startup 2018, Malaysia Rice Bowl Startup Award, Best IoT Innovation Award 2018, Cradle Coach & Grow Program season 4 (CGP4), Malaysia Top 5 finalist 2018, Most Innovative Financial Technology Product, FinTech Finals Pitch Competition, Top 10 Selangor Accelerator Programme 2019, Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC), Top 35 finalist 2018, AmBank BizRACE Entrepreneurship Challenge, Cradle Startup Ambassador Award 2019 dan MARii Mobility-as-a-Service (MaaS) Scale Up Programme 2019. – UTUSAN ONLINE










