Gaji mula RM300, kini guru cemerlang - Utusan Malaysia

Gaji mula RM300, kini guru cemerlang

SITI Mazura Mahat menerima Anugerah Guru Cemerlang TAJ Peringkat Negeri Johor tahun 2021 di rumahnya di Kampung Tampok Laut, Benut, di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Bergaji kecil ketika mula menceburi bidang pendidikan di Tadika Islam Johor (TAJ) 19 tahun lalu tidak mematahkan semangat seorang guru untuk menabur bakti kepada anak bangsa.

Ketika memulakan perkhidmatan pada tahun 2002, Siti Mazura Mahat, 38, dibayar RM300 sebulan di tadika yang baru beroperasi.

Namun, ia tidak menggoyahkan semangat guru di Sekolah Agama Api-Api yang kini merasakan berbaloi setelah menerima Anugerah Guru Cemerlang TAJ Peringkat Negeri  Johor tahun ini.

“Soal gaji ketika itu bukan menjadi keutamaan, namun, peluang yang diberikan untuk mendidik kanak-kanak mendorong saya menerima tawaran secara sambilan dengan Gred DB17.

SITI Mazura Mahat (dua, kiri) bergambar bersama-sama Tosrin Jarvanthi (empat kanan) dan tetamu lain selepas menerima anugerah guru cemerlang di KampungTampok Laut, Benut, di Pontian, Johor.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terus diberikan peluang untuk menabur bakti dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima anugerah itu di Kampung Tampok Laut, Benut, di sini, semalam.

Siti Mazura menerima anugerah itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk  Md. Rofiki Shamsudin; Pegawai Pendidikan Islam Daerah Pontian, Sulaiman Aziz dan Pegawai Khas kepada ADUN Benut, Taufik Hashim.

Selain sijil penghargaan serta hadiah iringan, ibu kepada empat orang anak itu juga menerima sumbangan komputer riba daripada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sementara itu, beliau mendedikasikan anugerah itu kepada semua warga TAJ di Sekolah Agama Api-Api yang turut membantu kejayaannya selama 19 tahun bertugas di sekolah tersebut.

“Tanpa murid-murid dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya, tak mampu kami dapat pelbagai kejayaan sebelum ini termasuk juara TAJ Gred A/B peringkat negeri pada 2018, selain saya sendiri menerima anugerah guru cemerlang peringkat daerah pada tahun sama dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2019,” katanya.

Menurut Siti Mazura, perjalanan kerjayanya selama 19 tahun dirasakan cukup panjang daripada berjawatan sambilan sehingga kini kepada taraf kontrak gred S19 dengan penambahan gaji mencapai hampir RM2,000 sebulan termasuk elaun.

“Syukur walaupun tidak menerima anugerah pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri sebagaimana biasa disebabkan Covid-19, namun kehadiran Exco dan Pengarah JAIJ cukup menggembirakan saya,” ujarnya.

Katanya, dia juga berkongsi kejayaan dengan suaminya, Jafarudin Mispan@ Mislan, 40, yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Pontian.

Menurut Siti Mazura, pengiktirafan itu diharap menjadi dorongan dan motivasi kepada dirinya untuk terus memajukan kerjayanya dalam bidang pendidikan selain menjadikan anak-anaknya mencapai kecemerlangan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya