Gagal seludup masuk ke Sabah - Utusan Malaysia

Gagal seludup masuk ke Sabah

Kesemua PATI yang ditahan dalam Op Cegah PATI di Kampung Batu Payung, Tawau semalam.-IHSAN ESSCOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seramai 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak sempat menjalani kehidupan di Sabah apabila kesemua mereka ditahan sebaik sahaja tiba daripada Indonesia, di Kampung Batu Payung, semalam.

Kesemua PATI yang baharu tiba daripada Sungai Nyamuk, Indonesia itu ditahan pasukan keselamatan dalam dua buah kenderaan yang dipandu oleh dua tekong warga tempatan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, hasil maklumat Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Batu Payung dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 13 PATI berkenaan.

“Sepasukan anggota Op Cegah PATI (OCP) Daratan ESSCOM bersama enam anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lima anggota 8 RAMD yang sedang menjalankan rondaan dihubungi oleh ketua KRT Kampung Batu Payung. Dia memaklumkan tentang penahanan dua kenderaan yang disyaki dinaiki oleh 13 PATI yang baharu mendarat di pantai Batu Payung, Batu 12, Jalan Kampung Tinagat.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan OCP memeriksa kedua-dua kenderaan tersebut dan mendapati terdapat tujuh lelaki dan lima perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan di dalam kedua-kedua kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka yang berumur antara dua hingga 49 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Fuad, siasatan lanjut mendapati kesemua mereka mengaku baharu tiba daripada Sungai Nyamuk, Indonesia menggunakan laluan tikus dengan menggunakan sebuah bot.

Kemudian, kedua-dua pemandu kenderaan mengaku diarahkan untuk mengambil penumpang di lokasi berkenaan.

Kedua-dua tekong warga tempatan yang berusia 28 tahun itu ditahan bersama kenderaan yang dipandu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63 dan Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63”, katanya.

Ahmad Fuad turut menyeru komuniti pesisir pantai khususnya di pantai timur Sabah agar menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat mengenai kemasukan PATI di kawasan mereka.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN