SHAH ALAM: Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menggesa perjanjian yang diberi bagi menghapuskan hutang 70 hingga 80 peratus ditambah baik untuk memastikan hak mereka terpelihara.
Ini kerana dalam perjanjian yang diedarkan oleh Felda pada Julai lalu dipercayai boleh menyebabkan masalah sama berulang kembali berkaitan hutang seperti tiada prosedur operasi standard (SOP) pengurusan ladang dan laporan penyata kira-kira kepada peneroka.
Gesaan itu dibuat Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWFG), Tan Sri Rozali Ismail yang memaklumkan satu memorandum berhubung cadangan penambahbaikan perjanjian itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu hadapan.
“Kita pada dasarnya berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan peruntukan yang begitu besar untuk menghapus kira hutang-hutang peneroka kepada Felda yang menjadi masalah lebih 11 tahun.
“Sekarang Felda buat keputusan, kerajaan kata, ok hapus tetapi dalam 80 peratus. Jadi ada orang yang sudah bayar hutang tak ada hutang, dia pun tanya ‘saya tiada hutang yang orang lain hutang tak mahu bayar apa semua dia dapat hapus’ jadi itu pun masalahnya juga,” katanya.
Beliau menambah, surat makluman mengenai cadangan penambahbaikan perjanjian juga akan diberikan kepada wakil peneroka dan Felda mengenai terma dan syarat tambahan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 73,817 peneroka Felda menandatangani perjanjian menerima inisiatif pelupusan sebahagian besar pinjaman di 64 rancangan atau lebih 90 peratus golongan itu berbuat demikian.
Inisiatif pelupusan hutang itu diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Julai lalu untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Dilaporkan, hutang yang ditangguh oleh setiap peneroka adalah berjumlah sekitar RM10,000 hingga lebih RM100,000 dan hal itu menjadi masalah kepada mereka dan berlarutan sehingga lebih 11 tahun apabila tiada penyata diterima.
Dalam pada itu, Rozali yang juga merupakan anak peneroka Felda Gedangsa di Hulu Selangor menggesa penyelesaian perjanjian ini perlu segera diadakan dan tidak mahu lagi melihat pergaduhan berhubung isu ini timbul antara peneroka dengan kerajaan.
“Di peringkat atasan GWGF kita berasa banyak perkara yang perlu kita kaji dan kita tambah dalam perjanjian yang ada ini untuk menambah baik terma dan syarat perjanjian yang kita katakan sebagai jalan penyelesaian jangka panjang.
“Kita tidak mahu lagi peneroka dan kerajan bergaduh hal hutang, penyata kewangan dan sebagainya. Jadi kita mendapati banyak terma-terma dan syarat yang perlu ditambah dalam perjanjian ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE