Enam kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan setakat ini - Utusan Malaysia

Enam kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan setakat ini

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sudah meluluskan enam kit ujian kendiri Covid-19 setakat hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kesemua kit berkenaan melepasi ujian prestasi dan memenuhi keperluan-keperluan ditetapkan sebelum diberikan kelulusan bersyarat.

Beliau berkata, kit-kit ujian itu dibekalkan ke farmasi-farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan untuk dibeli orang ramai. 

Menurutnya, sebanyak 14 kit ujian lagi sedang menjalani ujian prestasi oleh makmal-makmal terpilih ketika ini.

“Sebanyak 35 kit ujian lagi akan dibuat penilaian Jawatankuasa Penilaian Teknikal Kit Ujian Covid-19 sebelum menjalani ujian prestasi oleh makmal-makmal terpilih.

“Apabila proses penilaian ini selesai kelak, pengguna dapat lebih banyak pilihan kit ujian untuk mereka menjalankan ujian kendiri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Adham berkata, kementeriannya juga menetapkan mana-mana syarikat yang diberi kelulusan bersyarat diminta supaya mengedarkan kit-kit ujian kendiri Covid-19 melalui farmasi komuniti berlesen dan fasiliti kesihatan yang dibenarkan.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan kawalan dari segi penggunaan dalam kalangan orang awam yang masih perlu mendapat pandangan profesional mengenai teknik yang betul menggunakan kit berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melupuskan kit-kit ujian yang digunakan dengan cara yang betul bagi mengelakkan kemungkinan penularan yang tidak diingini.

“Kit ujian ini juga perlu panduan jelas khususnya berkaitan langkah keselamatan dan kebersihan semasa menjalankan ujian dan langkah pelupusan selepas penggunaannya.

“Ia bagi memastikan tiada individu lain yang terdedah memandangkan pengendalian sampel itu melibatkan virus yang berbahaya dan boleh membawa maut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya