Dua negeri dan tiga wilayah catat penurunan kes kategori tiga hingga lima - Utusan Malaysia

Dua negeri dan tiga wilayah catat penurunan kes kategori tiga hingga lima

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua negeri dan tiga wilayah menunjukan penurunan kes kategori tiga hingga lima yang memerlukan rawatan ke hospital serta penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hasil liputan lengkap vaksin dua dos vaksin kepada populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua negeri tersebut ialah Sarawak yang kini mencapai 55.7 peratus vaksinasi populasi dewasa manakala, Negeri Sembilan sebanyak 40.1 peratus.

“Selain itu, Wilayah Persekutuan Labuan (63.4 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus).

“Negeri-negeri lain belum menunjukkan trend penurunan kes kategori tiga hingga lima mahupun di ICU kerana peratus liputan dos lengkap masih kurang daripada 50 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas pelaksanaan operasi kapasiti di Lembah Klang, data menunjukkan pesakit kategori empat dan lima yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh mengikut usia pada minggu ke-30 semakin menurun.

“Kalau kita lihat pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu kita beri vaksin fasa dua kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, kita lihat penurunan kes selepas minggu ke-21.

“Apabila kita laksanakan operasi kapasiti di Lembah Klang, kita lihat mereka berusia 40 hingga 59 tahun juga menurun selain mereka berusia 20 hingga 39 tahun ada penurunan,” katanya.

Tambah beliau, ini menunjukkan vaksinasi Covid-19 tersebut berjaya menurunkan kes-kes positif ke hospital selain mengurangkan penggunaan katil di ICU.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, seramai 248,874 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,318 kes atau 2.94 peratus dijangkiti Covid-19.

“Ia melibatkan 2,353 kes kategori satu (tiada gejala), 4,948 kes kategori dua (gejala ringan), 10 kes kategori tiga (radang paru-paru), empat kes kategori empat (memerlukan oksigen) dan tiga kes kategori lima (rawatan ICU).

“Daripada kes kategori lima, dua kematian direkodkan dan satu kes masih dirawat di ICU serta diberikan alat bantuan pernafasan. Walaupun sudah diberikan vaksin penuh, masih boleh dijangkiti tetapi keparahan jangkitan kurang berbanding tidak diberikan vaksin.

“Ia boleh juga berakhir dengan kematian tetapi amat rendah 0.04 peratus. Justeru, KKM menggesan rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk tampil mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN