Dapur runtuh dimamah anai-anai - Utusan Malaysia

Dapur runtuh dimamah anai-anai

CHE Bidah Che Hassan memandang dapur rumahnya yang runtuh di Kampung Salak, Belimbing, Tanah Merah. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Rumah pusaka usang didiami bersama tujuh ahli keluarga di Kampung Salak, Belimbing, di sini yang mereput dimakan anai-anai sejak lima tahun lalu menyebabkan warga emas, Che Bidah Che Hassan runsing.

Empat hari lalu, perkara paling dirunsingkan wanita berusia 73 tahun itu menjadi kenyataan apabila dinding dapur yang selama ini senget dan menunggu masa untuk rebah, akhirnya tumbang ke tanah.

Ketika disantuni Utusan Malaysia semalam, Che Bidah memberitahu, dia tinggal di rumah pusaka peninggalan keluarganya sejak 40 tahun lalu bersama anak perempuan, Hasnah Li, 43, menantu dan lima cucu.

“Ini bukan kali pertama rumah kami roboh. Sebelumnya sudah pernah terjadi pada dinding ruang tamu. Sebab tak ada duit beli kayu, kami jadikan kepingan zink sebagai dinding.

“Rumah ini saya diami sudah begitu lama dan kayu-kayu di segenap penjuru semakin reput. Setiap kali berjalan dalam rumah, perlu berhati-hati memijak lantai yang turut reput,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Kata Che Bidah, mereka tidak mampu mengupah orang membaik pulih rumah itu kerana dia tiada pendapatan tetap dan hanya berharap pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Anaknya, Hasnah pula baru bekerja semula sebagai pembantu di kedai makan dengan bayaran RM30 sehari manakala suami wanita itu mengambil upah melakukan pelbagai kerja-kerja kampung.

Pasangan suami isteri tersebut yang perlu menyara lima anak mereka yang masih bersekolah sebelum ini terjejas berbulan-bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Hasnah berkata, dia amat risaukan keselamatan ibu dan anak-anak setiap kali meninggalkan mereka untuk mencari rezeki.

“Bimbang juga kalau-kalau rumah ini runtuh dan menyebabkan kejadian tidak diingini. Buat masa ini, kami masih tidak cukup wang untuk bina semula dapur yang runtuh atau baik pulih bahagian rumah yang mereput.

“Buat masa ini, bilik mandi berada di luar rumah yang hanya ditutupi dengan kayu dan zink sebagai dinding dan tidak pula beratap sedangkan saya ada anak perempuan yang sudah remaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank 2006671000181238 atas nama Che Bidah Che Hassan atau menghubungi Hasnah di talian 0167170411.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya