KOTA BHARU: Kes jangkitan Covid-19 di Kelantan akan menurun selepas 80 peratus rakyat di negeri ini selesai menerima dua suntikan vaksin dan perkara itu dijangka dapat dicapai menjelang Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, melalui pemerhatian pihaknya, trend jangkitan Covid-19 di Kelantan melonjak setiap kali musim perayaan, namun, semakin menurun selepas kadar suntikan vaksin meningkat.
“Di Kelantan, kita tidak hanya bergantung kepada aplikasi MySejahtera, sebaliknya turut melakukan program outreach di kawasan tertentu bagi membolehkan lebih ramai rakyat di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.
“Setakat ini, kadar vaksinasi telah mencapai 30 peratus untuk suntikan pertama dan 20 peratus untuk suntikan kedua dan kita jangka dalam masa lebih kurang sebulan lagi, Kelantan akan mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus sekali gus mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Islam, Dewan Jubli Perak di Panji hari ini.
Izani menambah, hampir 2,000 peniaga yang mendaftar di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bakal menerima suntikan vaksin covid menjelang fasa ketiga PICK tidak lama nanti.
“Bekalan vaksin mencukupi dan tidak timbul isu Kelantan lambat menerima bantuan vaksin. Kita telah mohon sejuta bekalan vaksin untuk rakyat Kelantan dan setakat ini, bekalan sampai tepat pada waktunya mengikut jadual.
“Apa yang kita risaukan adalah peningkatan kes melalui varian delta yang berlaku secara sporadik dan langkah awal bagi membendungnya ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan dikenal pasti,” katanya. -UTUSAN ONLINE










