SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mendakwa kegagalan rancangannya untuk mengintegrasi aplikasi Selangkah yang dibangunkan dengan aplikasi MySejahtera merupakan salah satu sebab peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud mendakwa, bibit-bibit peningkatan kes di negeri tersebut bermula apabila Selangkah tidak lagi mendapat data tertentu daripada Kementerian Kesihatan sejak bulan Ogos tahun lalu.
“Pada mulanya, kita dapat menjejak kontak rapat melalui data yang diberikan kementerian, lantas penularan kes Covid-19 di negeri ini dapat dilakukan.
“Namun pada bulan Ogos tahun lalu, kita tidak dapat lakukan peta risiko ini disebabkan ketiadaan data daripada kementerian,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 tahun 2021 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi yang bertanyakan punca kegagalan kerajaan Selangor dalam menangani kes Covid-19.
Siti Mariah mendedahkan beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa anggota Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) telah menemui mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi membincangkan perihal integrasi antara dua aplikasi pada Mac tahun ini.
Malah menurutnya, pihaknya sanggup menerima syarat yang dikenakan kementerian, asalkan penyatuan antara Selangkah dan MySejatera dapat dilakukan.
“Namun, kementerian tidak bersetuju atas sebab-sebab tertentu dan kita telah lakukan yang terbaik untuk penyatuan aplikasi ini termasuk berperang di akhbar.
“Selepas tidak mendapat data itu, bermulalah kita tidak dapat membuat pengesanan kontak rapat dan terbit kluster kilang dan komuniti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










