BALIK PULAU: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terjatuh daripada penghadang besi yang patah di tingkat satu, Flat Taman Sungai Batu, di sini Sabtu lalu dilaporkan masih trauma akibat kejadian itu.
Muhammad Ammar Rizqin Mohd. Fakhzan yang mengalami pendarahan dalaman termasuk retak tempurung kepala bagaimanapun telah dibenarkan keluar daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) Selasa lalu.
Ibunya, Nik Salina Kamaludin, 34, berkata, anak bongsunya itu kini masih di bawah pemantauan doktor disebabkan kecederaan dalaman pada kepala aibat terjatuh dari tempat tinggi.
Menurutnya, keadaan Muhammad Ammar kini stabil tetapi masih kurang aktif seperti sebelum ini.
“Dia mengalami trauma akibat kejadian itu. Biarpun dia dibenarkan pulang ke rumah, namun doktor meminta saya memantau tahap kesihatannya agar tidak jatuh atau dihempap objek pada bahagian kepala.
“Ibu mana yang tidak risau. Saya bimbang dengan apa yang berlaku terhadapnya. Dia (Muhammad Ammar) berkali-kali meminta maaf atas kejadian berlaku dan meminta agar penghadang besi yang patah itu diikat dengan tali,” katanya di sini tadi.
Nik Salina bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bayan Lepas dan semasa kejadian dia berada di dalam rumahnya.
“Saya terkejut ketika dimaklumkan anak sulung berusia sembilan tahun tentang adiknya yang sudah jatuh ke bawah.
“Apapun saya bersyukur yang dia masih selamat dan masih boleh berbual dan ketawa bersama rakan-rakannya kini,” ujarnya.
Sabtu lalu, Utusan Online melaporkan seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di koridor bawah oleh abagnya berusia sembilan tahun bersama beberapa kanak-kanak lain kira-kira pukul 5 petang. – UTUSAN ONLINE