Bocor saluran jantung, ibu tunggal rayu sumbangan - Utusan Malaysia

Bocor saluran jantung, ibu tunggal rayu sumbangan

WONG Fort Pin (kiri) bersama Noor Shamsiah Abu Hassan (kanan) menunjukkan surat pengesahan doktor pada sidang akhbar di Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai sebanyak RM15,000 bagi menjalani pembedahan saluran jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini.

Noor Shamsiah Abu Hasan, 45, berkata, dia terpaksa mengenepikan perasaan malu setelah puas berikhtiar mencari bantuan, pada masa sama buntu memikirkan tarikh pembedahan yang semakin hampir.

Menurut ibu kepada lima orang anak itu, sejak awal tahun dia mula berasa perubahan pada tubuh apabila cepat letih, mudah berpeluh, sakit di bahagian dada, lengan dan leher.

“Apabila saya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada Jun lalu, saya disahkan mengalami kebocoran saluran utama jantung dan perlu menjalani pembedahan segera. 

“Saya minta tangguh enam bulan, tetapi doktor tidak benarkan kerana kebocoran sudah serius.

“Doktor menganggarkan saya mempunyai masa sekitar tiga hingga empat bulan sahaja lagi, jika lewat daripada tempoh itu, saya mungkin sudah tiada lagi,” katanya ketika sidang akhbar dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin di Bukit Baru di sini, hari ini.

Noor Shamsiah memberitahu, dia kemudiannya dirujuk ke IJN dengan kos pembedahan sebanyak RM15,000, namun gagal mendapatkan subsidi kerana rujukan pertamanya adalah di hospital swasta.

Katanya, jumlah berkenaan terlalu tinggi berikutan hanya bekerja sendiri sebagai tukang urut wanita bersalin dan pendapatannya pula terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Pendapatan saya sekitar RM800 hingga RM1,500 sebulan bergantung kepada bilangan pelanggan. Sekarang pun sudah dua bulan tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya kemudiannya bertemu dengan ADUN Bemban dan beliau dengan tangan terbuka sudi membantu saya untuk mengumpul dana,” jelasnya.

Sementara itu, Fort Pin berkata, sebagai wakil rakyat, dia sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Saya sudah meneliti dan menyemak dokumen Noor Shamsiah. Memang benar dia memerlukan bantuan dana pembedahan kerana masalah kesihatan yang dihadapinya,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB, 8010407416 (Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bemban).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN